Ayron Del Valle rebut kasut emas Forestieri, Bergson masih ada harapan

165

Fernando Forestieri mungkin perlu pas baton bagi pengejaran kasut emas Liga Super Malaysia kepada Bergson apabila kini kedudukannya sebagai pendahulu senarai jaringan terbanyak disamakan oleh Ayron Del Valle.

Pemenang kasut emas musim lalu Bergson Da Silva daripada Johor Darul Ta’zim tidak dapat dicabar oleh mana-mana pemain apabila berjaya mencetak 29 gol namun musim ini kedudukan penjaring terbanyak masih lagi terikat di antara penyerang Selangor FC dan JDT dengan 17 jaringan secara jumlahnya.


Ayron yang kini menampilkan permainan terbaiknya dalam tempoh beberapa perlawanan sebelum ini sememangnya menjadi pilihan untuk menyarung kasut emas musim ini memandangkan calon utama daripada JDT iaitu Forestieri terpaksa direhatkan lama akibat daripada kecederaan.

Pemain asal kolombia ini telah menjadi sandaran utama jurulatih Tan Cheng Hoe dalam menerajui bahagian sayap skuad The Red Giants dan boleh dikatakan antara pemain sayap yang berjaya mengucar kacirkan barisan pertahanan pasukan lawan.

Jurulatih TCH telah menurunkan beliau dalam setiap perlawanan dan jumlah minit yang terkumpul mengikut data yang direkodkan oleh transfermarkt adalah sebanyak 1557’ dan berjaya meraih 17 gol serta empat umpanan jaringan bagi skuad Selangor FC sekaligus menyamakan kedudukannya bersama penjaring terbanyak JDT itu.

Forestieri sejak awal musim memang tidak dapat dihentikan apabila gol demi gol berjaya dihantar masuk ke gawang pihak lawan baik daripada segi tendangan jarak jauh, situasi bola mati mahupun aksi akrobatik kesemuanya sudah ditampilkan oleh pemain asal Argentina itu.

Beliau yang bermain 16 perlawanan bersama JDT dialam saingan Liga Super Musim ini sudah memberikan persembahan yang begitu baik dengan menduduki carta penjaring terbanyak dengan 17 gol dan juga senarai pembantu jaringan dengan jumlah 9 bantuan diberikan.

Namun prestasi yang mengujakan itu tidak berjaya ditonjolkan sehingga ke hujung musim apabila malang tidak berbau di Perlawanan Akhir Piala FA menentang KL City FC hasil terjahan keras dibahagian kaki oleh pihak lawan sekaligus mendatangkan kecederaan dan menyebabkan beliau tidak diturunkan sehingga kini.

Disebabkan itu, Bergson menjadi antara individu yang tepat untuk menyambung perjuangan rakan sepasukannya itu dalam memastikan dominasi JDT dalam setiap anugerah dan piala yang disediakan dalam Liga Super Malaysia.

Bergson kini antara pencabar rapat bagi kedua-dua pemain tersebut dengan 15 gol keseluruhan yang diraih dan dengan berbaki lagi enam perlawanan yang tinggal tidak mustahil untuk beliau ditabal sekali lagi sebagai pemegang kasut emas Liga Super Malaysia memandangkan momentun JDT yang begitu ghairah dalam setiap perlawanan mencari gol.

Namun ia bergantung kepada konsistensi para pemain dalam meneruskan perjuang mereka bagi mengejar anugerah tersebut selain mampukah Ayron mengekalkan kedudukannya sekarang ini.