Memiliki stadium berkapasiti kecil langkah permulaan yang baik untuk kelab di Malaysia
Kelab Angkor Tiger FC yang bermain di dalam Liga Bola Sepak Kemboja (CPL) sudah memulakan langkah yang lebih positif untuk para penyokong mereka dengan membina stadium berkapasiti yang lebih rendah iaitu dengan hanya 5000 orang sahaja pada peringkat awal.
Kelab itu yang dalam langkah pembinaan stadium sendiri dilihat sebagai satu inisiatif yang boleh dicontohi buat kelab-kelab kecil di Malaysia untuk sekurang-kurangnya mempunyai stadium milik sendiri pada masa akan datang.
Tambahan pula, stadium yang lebih kecil akan lebih memudahkan dari aspek penjagaan stadium tersebut kerana dapat mengecilkan skop kewangan kelab untuk menyelenggara stadium tersebut justeru dapat mengurangkan perbelanjaan kelab.
Dengan kelab di dalam Liga Malaysia yang masih menerima kehadiran para penonton secara tidak konsisten, maka dengan pembinaan stadium yang lebih berskala kecil juga pasti dapat memenuhi ruang stadium dengan kehadiran penyokong agar sentiasa dilihat penuh.
Tambahan pula, dengan purata kehadiran para penonton ke stadium pada musim ini dalam Liga Malaysia kurang daripada 10 ribu orang sahaja dalam setiap perlawanan, maka mempunyai stadium yang berkapasiti lebih kecil adalah lebih baik daripada kelihatan kosong.
Dalam pada itu, hanya Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang sering mencatatkan kehadiran tertinggi iaitu sebanyak 17,482 purata pada setiap perlawanan.
Langkah ini dilihat wajar menjadi contoh buat kelab-kelab di Malaysia untuk memiliki stadium sendiri dengan kemampuan yang rendah untuk memiliki stadium sendiri pada masa akan datang.