Bola sepak di Malaysia bagi saya adalah satu peringkat yang kompetitif – Harith Akif

881

Pemain muda Kelantan FC, Harith Akif yang bakal berlepas ke Thailand bagi mengharungi Kejuaraan AFF B-23 tahun akui tiada perbezaan yang ketara jika dibandingkan bermain di Malaysia dan juga sewaktu beliau berada di Eropah.

Harith yang kini menyarung jersi kebangsaan menceritakan pengalaman beliau bermain di York, England sejak berumur 7 tahun dan bermain bersama skuad kebangsaan merupakan impiannya sejak kecil lagi.


Beliau juga tidak dapat menyatakan perbezaan yang ketara corak permainan bagi Malaysia dan Eropah disebabkan ketika itu beliau hanya bermain di peringkat umur remaja namun baginya bola sepak di Malaysia sangat kompetitif.

“Perasaan saya memang tidak dapat saya luahkan kerana ini merupakan Impian saya dari kecil dan saya akan gunakan peluang ini sehabis baik dan bantu pasukan raih kejayaan,”

“Saya mula bermain pada umur 7 tahun di York, England. Saya tidak boleh nak bagitahu perbezaan corak permainan di Malaysia dan eropah kerana saya sendiri bermain di peringkat umur bawah tetapi di Malaysia bagi saya ia satu level yang kompetitif,”

jelasnya kepada Harimau Malaya.

Pertama kali dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan, Harith akui agak gementar pada awalnya disebabkan tidak mempunyai pengalaman bersama pasukan negara disamping teruja akhirnya mampu menabur khidmat baktinya.

“Pada awalnya saya agak sedikit gementar tetapi apabila sudah mula bergaul mereka semua baik-baik sahaja dan semasa saya mula-mula masuk mereka menyambut kedatangan saya dengan baik dan saya sangat teruja,”

Nama Harith sudah semestinya tidak asing lagi dengan pasukan Kelantan FC yang berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol sewaktu pertama kali skuad The Red Warrior meraih tiga mata pertama mereka menentang Penang FC.

Menurutnya hasil daripada gol yang dijaringkan dan perhatian yang diberikan oleh para peminat sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi semangat beliau selain tidak sabar mahu memberikan lebih aksi di atas padang nanti.

“Itu memang bagi saya semangat sebab mereka sudah mula nampak keupayaan saya dan saya masih ada banyak lagi yang perlu saya tunjukkan supaya mereka lebih yakin dengan kelibat saya diatas padang.”