Sempat turun sehari sahaja latihan namun perancangan jurulatih E.Elavarasan saya sudah hadam – Aliff Izwan
Penyerang muda Selangor FC, Aliff Izwan hanya sempat berlatih dengan skuad B-23 tahun negara sehari sahaja sebelum berlepas ke Thailand hari ini namun akui sudah serap segala tunjuk ajar jurulatih untuk digunapakai di sana.
Aliff yang diturunkan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC tempoh hari kesuntukan masa untuk menghadiri latihan bersama skuad kendalian E. Elavarasan memandangkan kejohanan AFF ini tidak berada di dalam calendar Kesatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun pemain yang berusia 20 tahun itu berkata disebabkan beliau sudah dipanggil sejak kali pertama kem latihan pusat ditubuhkan maka segala taktik dan perancangan yang dirangka barisan kejurulatihan sudah beliau fahami dan semalam merupakan latihan terakhir sebelum pemilihan akhir dibuat.
“Walaupun hanya sempat turun latihan semalam sahaja namun daripada segi taktikal saya dapat serap dengan lebih awal bersama jurulatih Elavarasan disebabkan saya sudah ada bersamanya sejak pertama kali latihan pusat dijalankan dan untuk pasukan tiada apa yang berbeza cuma berlaku pertambahan 2-3 pemain berbanding sebelum ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau sangat gembira dapat bersama-sama skuad senior Selangor FC kerana berpeluang meraih lebih banyak pengalaman dan pendedahan meskipun baru sahaja berumur 20 tahun.
“Alhamdulillah saya rasa lebih bersemangat untuk bermain disebabkan dapat meraih lebih pengalaman bersama skuad senior dalam pasukan Selangor FC,”
Aliff yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi sebelum berlepas ke Thailand bagi mengharungi cabaran Kejohanan AFF B-23 tahun itu turut menetapkan sasarannya untuk meraih kejuaraan dan bakal berjuang habis-habisan untuk membawa kejuaraan bagi edisi kali ini.
“Sasaran saya adalah sudah semestinya menjadi juara tetapi itu bergantung kepada rezeki juga dan kalau kita berjuang sehabis baik kita akan peroleh kejayaan itu nanti.”