Indonesia komited mahu julang Piala AFF B-23 dengan kehadiran Shin Tae-yong

260

Berikutan kejohanan bola sepak Piala AFF B-23 yang akan membuka tirainya pada esok hari, negara jiran iaitu Indonesia dilihat bersungguh-sungguh dengan mengambil langkah yang drastik untuk merebut kejuaraan dalam edisi kejohanan kali ini.

Bagi memastikan kejuaraan Piala AFF B-23 menjadi milik mereka, Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah memberi tanggungjawab kepada ketua jurulatih senior Garuda iaitu Shin Tae-yong untuk membawa skuad muda untuk mengharungi kejohanan kali ini.


Kehadiran jurulatih dari Korea Selatan itu dianggap mampu untuk memberikan kelebihan kepada kem Indonesia walaupun sebelum ini menghadapi masalah para pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab untuk dibawa ke kejohanan yang akan berlangsung di Thailand itu.

PSSI sebelum ini juga meluahkan rasa kekecewaan mereka hingga menyebabkan berlaku pergaduhan mulut bersama jurulatih kelab di Liga 1 Indonesia kerana tidak melepaskan pemain utama yang telah mereka senaraikan.

Kehadiran Tae-yong juga dikhabarkan sebagai langkah untuk menggertak pasukan lawan seperti Malaysia, Vietnam dan Thailand justeru umpama amaran awal bahawa pasukan Indonesia benar-benar memandang serius dalam merebut kejuaraan itu pada edisi kali ini.

Tambahan pula, perlawanan pertama menentang skuad Malaysia kendalian E. Elavarasan pada jumaat ini dilihat sebagai perlawanan penting bagi Indonesia serta komited mampu mendapatkan keputusan yang positif.

Negara itu juga menganggap Malaysia hanya menghantar skuad kedua sahaja tanpa nama-nama besar sebagai tonggak utama justeru bakal menjadi satu kelebihan untuk negara itu mengambil kesempatan untuk merangkul kejuaraan.

Ia sememangnya benar apabila skuad Harimau Muda yang menyertai kejohanan Piala AFF kali ini bukan dari kalangan pemain utama dek kejohanan bukan dalam kalendar FIFA membuatkan majoriti kelab tidak melepaskan pemain utama mereka.

Indonesia akan membuka tirai kempen mereka menentang Malaysia pada 18 Ogos ini di Stadium Rayong Province, Thailand.