Jika ke luar negara tetapi tak dapat minit pemainan lebih baik beraksi di Malaysia saja – Safee Sali
Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali berpendapat bahawa pemain tempatan yang mendapat tawaran bermain di luar negara harus berfikir masak-masak sebelum menerima tawaran kerana boleh memberi kesan kepada perkembangan karier.
Katanya, perkara utama yang perlu diambil kira adalah sama ada akan mendapat minit permainan yang cukup atau sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja.
“Memang bagus beraksi di luar negara jika mempunyai peluang tetapi harus berhati-hati kerana jika di Malaysia boleh bermain kesebelasan utama tetapi jika di luar negara tidak dapat minit permainan mencukupi, baik teruskan bermain di dalam negara saja.
Minit permainan adalah sangat penting untuk seorang pemain berkembang, jadi harus fikir masak-masak dahulu sebelum menerima tawaran luar negara,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran eFootball 2024 di Malaysia sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau merasakan bahawa bekas kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) di landasan yang terbaik untuk mengharungi saingan AFC Champions League pada musim ini.
“Saya lihat mereka mempunyai kualiti yang sangat bagus serta kedalaman skuad yang besar, saya harap mereka dapat capai sasaran yang diletakkan oeh TMJ.
Motivasi mereka sekarang juga sedang tinggi, tidak kalah sejak sekian lama di Stadium Sultan Ibrahim, jadi mereka dalam keadaan yang terbaik.”
Mengenai perkembangan terbaru dirinya selepas bersara, Safee berkata beliau kini menjadi penyampai radio di sebuah stesyen radio tempatan, di mana beliau ke udara setiap hari Sabtu.