Terima kasih YB keluarkan duit poket sendiri untuk bantu saya – Dayang Ferazlyn

344

Prestasi cemerlang Dayang Ferazlyn di Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa Kazakhstan 2023 tempoh hari turut didorong oleh beberapa pihak yang banyak menyumbangkan bantuan dari aspek dana secara langsung kepada beliau.

Ini adalah kerana untuk pergi ke kejohanan yang mempunyai jarak yang jauh memerlukan kos yang tinggi sehingga beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berhutang terlebih dahulu bagi membiayai kos pengangkutan untuk ke Kazakhstan.


“Sebelum menerima sebarang bantuan, saya terpaksa berhutang untuk membayar kos tiket ke Kazakhstan terlebih dahulu kerana perlu membayar tiket tersebut pada dua minggu lebih awal.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, selepas mendengar keluhan beliau sebagai atlet yang mahu mengharumkan nama Malaysia di kejohanan luar negara, banyak individu besar yang datang membantu beliau dengan menyumbangkan dana.

“Banyak juga YB yang membantu dari segi kewangan serta melalui duit poket mereka sendiri untuk perbelanjaan saya di sana.”

Dayang juga meletakkan harapan agar sukan memanah tradisional ini mendapat lebih banyak liputan di masa akan datang justeru mampu menarik minat golongan muda di peringkat sekolah khususnya untuk turut serta selain kos barangan yang mampu milik.

“Sebagai jurulatih, saya berharap dapat memperkenalkan sukan ini di peringkat sekolah dan menarik lebih ramai srikandi untuk menyertai kerana ia bagus untuk minda dan juga harga yang mampu milik.”