Kami menghormati semua pasukan yang bertanding – E. Elavarasan

237

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan memberitahu mereka berkongsi masalah sama dengan pasukan lawan Indonesia apabila tidak dapat membawa pemain yang diperlukan dek saingan liga masih lagi berjalan.

“Cabaran kami sama seperti Indonesia, kami tak dapat membawa semua pemain yang diperlukan kerana saingan liga yang sedang berjalan,”

katanya.

Menurut Elavarasan, beliau menganggap kejohanan kali ini juga sebagai satu platform buatnya untuk melihat potensi berisan pemain yang sedia ada ketika ini sebelum bersaing dalam kelayakan Piala AFC B-23 2024 yang akan bermula pada bulan hadapan.


“Kejohanan ini juga lebih kepada persediaan untuk menghadapi Kelayakan Piala AFC yang akan datang dengan objektif kami untuk sekurang-kurangnya dapat melayakkan diri. Kami akan gunakan kejuaraan ini dengan sebaiknya untuk memberi peluang kepada muka baharu yang berpotensi untuk mewakili skuad Malaysia.”

Beliau juga percaya bahawa Piala AFF kali ini dapat dijadikan sebagai satu medan pendedahan yang positif kepada pemain muda serta ruang untuk para pemain mempamerkan kemampuan sebenar mereka bagi merebut tempat dalam skuad untuk ke kejohanan akan datang.

“Kami menghormati semua pasukan yang bertanding. Setiap kejohanan adalah proses untuk menambah penggalaman dan meningkatkan lagi kualiti pasukan.”

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai Kumpulan B dalam kejohanan dengan bertemu pasukan Indonesia pada esok hari (Jumaat).