Kami anggap kejohanan di sini sebagai perlawanan persahabatan sahaja – Shin Tae-yong

178

Ketua jurulatih pasukan kebangsan Indonesia, Shin Tae-yong memberitahu bahawa persiapan pasukannya untuk menghadapi kejohanan Piala AFF B-23 kali ini tidak seperti yang dirancang.

Ini kerana menurut Tae-yong, beliau berdepan kesukaran apabila tidak mendapat pemain utamanya dek tidak dilepaskan oleh kelab berikutan saingan liga masih berjalan.


“Persiapan kami tidak begitu baik. Sebagai ketua jurulatih saya tidak dapat membawa semua pemain yang saya mahukan kerana liga tempatan sedang berjalan. Kami anggap kejohanan di sini sebagai perlawanan persahabatan sahaja,”

katanya.

Beliau bagaimanapun berharap pemainnya dapat meneruskan momentum kecemerlangan mereka selepas berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini, namun tidak meletak harapan terlalu tinggi.

Dalam pada itu, Tae-yong memberitahu fokus utamanya adalah untuk mempersiapkan pasukan untuk kelayakan Piala Asia B-23 2024 dan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada awal Januari 2024.

“Saya melihat kemajuan pada projek yang sedang kami lakukan untuk sukan bola sepak di Indonesia berada pada landasan yang tepat. Fokus utama saya adalah pada Piala Asia B-23 dan Piala Asia tahun hadapan.”

Jurulatih itu juga tidak meletakkan sasaran untuk pasukannya kali ini tetapi berharap dapat meraih keputusan yang positif.

“Sasaran kami pada kejohanan kali ini sekurang-kurangnya mahu mencapai sesuatu dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan pasukan yang akan bertanding.”