Zam Saham diam membisu, Sabah FC lebih menguntungkan untuk DSV

263

Akibat terlalu lama menunggu Zam Saham melepaskan Kelantan FC, Datuk Seri Vida (DSV) kelihatan mula menghampiri kelab asal borneo.

Baru-baru ini berlegar di laman sosial kelibat DSV bergambar bersama pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir dan juga Farish Aziz yang merupakan Ketua Pemasaran dan Media The Rhinos beserta kapsyen yang menunjukkan seolah-olah beliau sedang mendekati pasukan tersebut.


Jika perkara ini benar, ia mungkin boleh menjadi petanda baik untuk skuad The Rhinos apabila mereka juga memerlukan penaja yang mampu memberi dana bagi meneruskan perjuangan kelab tersebut dalam menempuh musim-musim yang mendatang.

Melihat sendiri daripada latar belakang individu perniagaan tersebut tiada sebarang masalah untuk membiayai sebuah pasukan bola sepak tempatan seperti sebelum ini beliau sendiri tampil ke hadapan dalam nasib pasukan Kelantan FC yang berada dalam masalah kewangan.

Sudah pasti ramai peminat bola sepak yang mengingati dahulu DSV pernah menaja skuad TRW dengan nilai RM 16 Juta bagi membantu kesesakkan kewangan kelab tersebut namun disebabkan beberapa hal beliau terpaksa memberhentikan tajaannya.

Dalam tempoh beberapa bulan yang lalu, Kelantan FC seakan-akan bakal bertukar milik apabila pemilik kelab tersebut iaitu Zam Saham mula mencari pelabur baharu memandangkan keadaan The Red Warrior tidak begitu aman sejak awal musim ini.

Namun sehingga kini, Zam Saham ibarat sudah menarik ‘hand brake’ daripada menjual kelab tersebut kepada pelabur lain memandangkan tiada lagi desas-desus cerita mengenai jual beli Kelantan FC ini.

Mungkin disebabkan itu membuatkan DSV sudah mula untuk berubah arah ke Sabah FC memandangkan banyak kelebihan yang diperoleh jika beliau mula untuk melebarkan sayap ke kelab borneo itu.

Sabah FC sendiri memiliki peminat yang tidak putus-putus hadir ke stadium setiap kali perlawanan dimainkan di tempat mereka dan sedikit sebanyak dapat memberi ruang kepada pengusaha kosmestik tersebut memperluaskan lagi pemasaran produknya di negeri di bawah bayu itu.

Selain itu, DSV sendiri memaklumkan semasa beliau ditemuramah sebelum ini berkenaan perancangan yang sudah dirangka buat Kelantan FC dan memandangkan harapan untuk mendapatkan pasukan tersebut mungkin segala yang dirangka oleh beliau boleh digunapakai dalam membantu dan memajukan lagi bola sepak Sabah.

Jutawan kosmetik itu juga sudah pasti memikirkan tentang ekonomi dan status kelab Sabah FC yang lebih menguntungkan berbanding Kelantan FC dari segi kewangan, kualiti pemain dan kedudukan mereka di dalam Liga Super Malaysia untuk beberapa musim ini.

Perkara ini belum disahkan oleh mana-mana pihak memandangkan ia hanyalah sekeping gambar dan sebaris kapsyen namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk DSV dan Sabah FC bergabung dalam memajukan lagi pasukan bola sepak Sabah.