Jika mahu berjaya seperti JDT, jadilah peneraju dan bukannya muzium
Sejak ditubuhkan pada 2013, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencatat pelbagai kejayaan serta pencapaian yang luar biasa, dan tidak dilupakan pelbagai rekod yang tidak sangka dapat dipecahkan.
Semua itu tidak akan dicapai tanpa visi yang tinggi oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membangunkan pasukan itu menjadi sebuah pasukan yang disegani bukan sahaja di dalam negara, tetapi di peringkat antarabangsa.
Dalam satu komen di laman Instagram, baginda mengatakan bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang menjadi peneraju dan bukannya muzium, menandakan bahawa mereka tidak melihat ke belakang tetapi fokus mencatat kejayaan demi kejayaan.
Menjuarai Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut, dan di landasan tepat untuk menjuarai sebanyak 10 kali berturut-turut, bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi dengan pelbagai rekod.
Musim ini saja, JDT telah mencatat beberapa rekod luar biasa seperti kemenangan berturut-turut paling banyak, rekod tanpa kalah paling banyak dan jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Super.
Itu JDT juga telah memanjat tangga ranking kelab terbaik di Asia sehingga ke tangga ke-16, dan menjadi kelab terbaik di Asia Tenggara.
Tanpa visi dan kesungguhan pemilik seperti TMJ, sukar untuk mana-mana kelab mencapai tahap yang dicapai JDT ketika ini.
Disebabkan itulah mereka tidak mempunyai masalah dalam mendominasi liga tempatan, kerana tiada satu pasukan dalam Malaysia pun yang melakukan apa yang dilakukan oleh JDT, dari segi segi fasiliti, pengurusan dan lain-lain.
Justeru, benarlah apa yang dikatakan oleh TMJ bahawa JDT adalah peneraju dan perintis dalam membangunkan bola sepak Malaysia.
‘Blueprint’ untuk berjaya seperti JDT telah ditunjukkan oleh TMJ, cuma ia bergantung kepada pasukan-pasukan lain untuk terus ‘muzium’ atau mencatat sejarah baharu.