Al-Nassr jelajah Malaysia, poster palsu dan sekadar mainan sosial media

417

Tersebar sebuah poster yang menunjukkan sebuah pasukan Liga Arab Saudi bakal berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad The Red Giants dan juga Sang Kenari.

Namun ia bukan seperti yang disangka memandangkan ramai yang menganggap desas-desus kehadiran pasukan Al-Nassr FC ke Malaysia adalah benar dengan hanya sekeping gambar yang berlegar-legar di laman sosial.


Hal ini adalah sama sekali tidak benar dan sekiranya gambar ini masih singgah di laman sosial anda harapnya anda bukan salah seorang yang tertipu dengan berita palsu sebegini.

Seperti yang peminat bola sepak sedunia mengetahui sekarang semua liga sudah bermula selain tiada pasukan yang akan melakukan jelajah persahabatan mereka di tengah musim berlangsung dan sudah pasti tidak logik Al Nassr FC bakal ke Malaysia seperti yang dinyatakan dalam poster tersebut.

Untuk makluman para pembaca Harimau Malaya sekalian, gambar tersebut pada awalnya dikongsikan dalam lama Instagram milik Al Nassr sendiri yang bertarikh 10 Ogos lalu untuk menghebahkan perlawanan akhir Piala Raja Salman apabila mereka bakal berdepan pasukan yang diterajui Karim Benzema.

Poster yang palsu tersebut seakan-akan benar namun tidak dari sudut kesahihannya tiada sebarang kongsian dibuat oleh wakil atau daripada media Arab yang mengatakan mereka bakal adakan jelajah ke Asia Tenggara.

Harimau Malaya turut membuat kongsian di laman Facebook berkenaan poster tersebut hari ini dan dari situ dapat dilihat pelbagai reaksi dan komen netizen yang boleh dikatakan bersetuju untuk menyambut kedatangan pasukan yang diterajui oleh lagenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Namun ada juga yang tertanya-tanya berkenaan ketiadaan Johor Darul Ta’zim di dalam senarai dan mengapa harus Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC.

Mungkin gambar tersebut disebarkan oleh penggemar kedua-dua pasukan itu atau mungkin seperti yang dikomen oleh para peminat JDT bahawa skuad harimau Selatan lebih setara dengan skuad Eropah.

Akan tetapi segalanya tidak mustahil untuk masa hadapan kelab-kelab di Malaysia mampu untuk bersaing menentang pasukan gergasi Arab yang mana berada dalam satu konfedarasi bola sepak yang sama.

Memandangkan baru-baru ini juga Konfedarasi Bola Sepak Asia turut mengumumkan bahawa bakal ada penjenamaan semua kejohanan-kejohanan di Asia yang memperlihatkan kelab-kelab elit di sekitar Benua Asia akan disatukan dalam pertandingan.

Diharapkan pada masa akan datang poster yang sekarang ini palsu akan menjadi realiti sekaligus menjadikan kancah bola sepak tempatan menjadi lebih kompetitif dan maju dalam segala aspek.