Semoga usia 23 jadi tuah Hong Wan bersama skuad kebangsaan
Pemain Tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hong Wan menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 pada hari ini.
Pemain muda berbakat itu boleh dianggap sebagai pemain tengah bertahan yang terbaik di Malaysia ketika ini dan mungkin juga yang terbaik di Asia Tenggara.
Lebih manis, beliau dijangka akan menjuarai Liga Super buat kali kedua berturut-turut pada 26 Ogos ini ketika menentang Kedah Darul Aman pada 26 Ogos depan, yang akan menjadi hadiah istimewa buat hari kelahirannya itu.
Ramai peminat bola sepak tempatan yang masih ternanti-nanti penampilannya bersama skuad kebangsaan kerana dianggap mampu menjadi arkitek buat Harimau Malaya di bahagian tengah.
Pada Mac tahun lalu, beliau pernah dipanggil oleh Kim Pan-gon ke kem latihan untuk perlawanan persahabatan, namun tidak terpilih ke senarai akhir akibat masalah kecergasan.
Selepas itu, namanya tidak pernah ‘melekat’ dalam senarai pemain yang dipilih Pan-gon untuk ke perlawanan persahabatan, kelayakan Piala Asia dan lain-lain perlawanan.
Mungkin usia 23 tahun boleh menjadi tuah buat pemain itu untuk mencatatkan kaps pertamanya, lebih-lebih lagi Malaysia bakal menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 pada November ini dan Piala Asia 2023 pada Januari depan.
Pada musim ini, beliau menjadi tonggak penting buat JDT untuk mencatatkan prestasi terbaik ketika ini, termasuklah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan JDT memenangi trofi itu buat kali ketiga.
Sekiranya beliau dipanggil untuk mewakili negara, sudah pasti masalah kekurangan jeneral di bahagian tengah tidak lagi timbul dalam skuad kebangsaan.
Ketika ini, hanya rakan sepasukannya di JDT, Syamer Kutty yang dilihat mampu untuk menggalas tanggungjawab itu dengan baik bersama pasukan kebangsaan.
Walaupun ini baru musim keduanya mendapat kepercayaan mengendalikan bahagian tengah JDT, impak yang dibawanya begitu besar dalam membawa pasukan itu mencatatkan musim yang cemerlang.