Jangan lepaskan begitu saja, ambil tindakan terhadap negara yang batalkan perlawanan

645

Pujian sememangnya perlu diberikan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berjaya membawa skuad Tajikistan ke Kejohanan Pesta Bola Merdeka dalam tempoh yang singkat bagi menggantikan Lubnan yang telah menarik diri.

Lubnan yang sebelum ini dikatakan menarik diri berkemungkinan atas alasan perlu mengelak daripada bermain dengan pasukan Palestin memandangkan mereka akan bertemu dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.


Sebelum ini Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman memaklumkan bahawa setiap pasukan baik India, Palestin mahupun Lubnan sudah bersetuju dan memahami format permain serta undian yang bakal digunapakai sewaktu kejohanan nanti.

Namun kini lain pula jadinya apabila penarikan diri Lubnan boleh dikatakan secara tiba-tiba dan tidak menghormati segala persediaan yang telah dilakukan oleh FAM dan penganjur kejohanan kali ini.

Sebagai sebuah kejohanan bola sepak yang tertua di Asia ia tidak seharusnya berlaku sebaliknya pasukan yang menyertai perlu berbangga mendapat jemputan untuk bermain dalam kejohanan begini.

Jika diikutkan, pada tahun ini saja, ini merupakan kali kedua pasukan kebangsaan luar negara menarik diri daripada menentang skuad kebangsaan dan kejohanan yang dianjurkan oleh negara kita.

Yemen menjadi contoh terdekat pasukan yang menarik diri daripada menentang skuad kebangsaan tempoh hari dan FAM terpaksa mencari pengganti dan akhirnya memilih pasukan Papua New Guinea yang menduduki ranking lebih rendah.

Hal ini perlu dipandang serius oleh para penganjur dan FAM dengan memastikan pasukan yang sudah ditetapkan menyertai kejohanan atau perlawanan persahabatan dengan negara kita perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

Mereka perlu lebih bertegas dengan pasukan-pasukan yang cuma menarik diri pada saat-saat akhir seperti yang kini berlaku walhal segala undian dan persiapan sudah mula dijalankan.

FAM mungkin boleh melakukan aduan kepada pihak FIFA bagi meminta pampasan atau menghantar surat amaran kepada pasukan yang berbuat demikian agar perkara ini tidak berulang lagi sekaligus tidak memberikan kesulitan kepada pihak kita sendiri.

Selain itu kesan daripada penarikan diri ini juga akan menyebabkan Malaysia sukar untuk mencari pengganti pasukan yang berada di kedudukan ranking tinggi memandangkan mereka kebiasaanya sudah menyusun jadual perlawanan mereka sehingga hujung tahun.

Hal ini akan meninggalkan kita peluang untuk menjemput pasukan-pasukan yang mungkin berada di kedudukan ranking atas 100.

Namun perkara ini bukan sesuatu yang besar akan tetapi sikap tegas amat penting dalam menjaga maruah negara supaya mereka tidak mudah untuk memperlakukan perkara sebegini lagi pada masa hadapan.