Mampukah penerjun negara menyaingi pencapaian Mun Yee?

217

Kem terjun negara baru sahaja kehilangan dua ‘tonggak’ utama iaitu Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong selepas persaraan mereka baru-baru ini. Persoalannya sekarang, mampukah penerjun senior yang lain seperti Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan penerjun muda yang lain yang diketuai Datuk Pandelela Rinong mengikuti dan menyaingi pencapaian Mun Yee?

Harimau Malaya mendapatkan sendiri pendapat dari Mun Yee mengenai potensi atlet terjun senior mengikuti jejak langkahnya yang berjaya melayakkan diri lima kali ke Sukan Olimpik dan kutipan pingat yang membanggakan di kejohanan dunia dan Asia. Menurutnya, beliau melihat potensi pada penerjun muda namun memerlukan sedikit masa untuk menggilap bakat mereka.


“Saya harap agar mereka mampu melakukan yang terbaik, bukan hanya memecah rekod Olimpik malah dari segi kutipan pingat juga sekaligus membawa Malaysia ke mata dunia.”

Ujarnya kepada Harimau Malaya

Inilah masanya untuk penerjun muda menunjukkan kebolehan mereka kerana pastinya satu-persatu atlet senior akan bersara mengikut faktor umur masing-masing. Mereka adalah pelapis yang diharapkan mampu mengisi kekosongan sebagai penerjun harapan negara. Atlet muda seharusnya memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk lebih menyinar dan membawa sukan terjun Malaysia untuk pergi lebih jauh.

Antara memori Mun Yee dan Jun Hoong bersama-sama rakan sepasukan memenangi pingat di Sukan Komanwel 2018.

Di atas kertas, calon yang dilihat paling sesuai untuk meneruskan kesinambungan arena sukan terjun negara adalah Elisha Rania Abrial Rajagopal, Ong Ker Ying, dan Kimberly Bong. Atlet-atlet ini harus mempersiapkan diri mereka sebaiknya kerana dijangka selepas Olimpik Paris 2024 akan lebih ramai atlet mengumumkan persaraan mereka.

Mun Yee sendiri yang bermula dengan niat ‘suka-suka’ sahaja pada awalnya namun akhirnya beliau muncul sebagai penerjun yang membawa nama negara ke pentas Olimpik seawal usia 15 tahun. Antara pencapaian lain Mun Yee termasuklah memenangi pingat perak dan gangsa pada 2009, 2013 dan 2019 di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) dalam acara 10 meter platform seirama. Selain kutipan dua pingat emas di Sukan SEA 2017 melalui acara 10 meter platform seirama dan campuran serta banyak lagi pencapaian lain.