Sri Pahang FC perlu jawab dakwaan masalah gaji ditahan yang dilontarkan kepada kelab itu
Baru-baru ini, tular seorang individu yang bersuara di media sosial TikTok berkenaan seorang pemain dari kelab Sri Pahang FC yang ditahan gajinya oleh pihak pengurusan justeru menyebabkan pemain tersebut gagal untuk melunaskan hutangnya.
Individu tersebut juga meletakkan wajah pemain berkenaan berserta dengan jumlah wang yang dipinjamkan iaitu RM100,000.
Persoalan yang menarik adalah adakah benar kelab Sri Pahang menahan gaji pemainnya selama lebih daripada empat bulan seperti yang dikatakan?
Dakwaan berat kepada kelab Sri Pahang yang sedang berada di dalam prestasi terbaik di dalam liga ketika ini semestinya bakal memberikan persepsi yang buruk kepada kelab itu yang sedang dalam perlumbaan untuk merebut tempat kedua dalam liga.
Oleh itu, sekiranya dakwaan tersebut tidak benar maka pihak pengurusan perlu menafikan dengan sekerasnya perkara tersebut kerana ia merupakan satu tuduhan yang berat buat Sri Pahang serta mampu mencemarkan imej kelab tersebut.
Dalam masa yang sama, pihak pengurusan wajar mengambil tanggungjawab penuh bagi menyelesaikan permasalahan tersebut sekiranya dakwaan penahanan gaji tersebut benar-benar berlaku.
Ini adalah kerana, sekiranya masalah gaji terus menghantui kelab dari Pantai Timur itu, secara tidak langsung pasti akan memburukkan keadaan serta akan memberi impak negatif kepada moral pemain yang terkesan dengan masalah gaji yang ditahan itu.
Isu ini juga telah kecoh dalam kalangan penyokong terutama di media sosial, dan adalah baik sekiranya pihak pengurusan dapat menjelaskan perkara yang sebenar.