Dibuka semula tahun depan, Stadium Merdeka boleh dijadikan rumah alternatif buat Harimau Malaya?

498

Pembukaan semula Stadium Merdeka yang dijangkakan pada tahun hadapan pasti akan memberi seribu makna buat peminat bola sepak tempatan khasnya kerana bakal mengimbau nostalgia ketika detik kegemilangan skuad Harimau Malaya pada suatu ketika dahulu.

Maka tidak mustahil sekiranya stadium itu dapat dijadikan sebagai satu lagi gelanggang buat skuad Malaysia selain Stadium Nasional Bukit Jalil kerana lokasinya yang strategik serta terletak di tengah bandar, bersebelahan dengan menara kedua tertinggi di dunia iaitu Merdeka 118.


Stadium bersejarah yang pernah menjadi tapak pengistiharan kemerdekaan Malaysia, Kejohanan Pestabola Merdeka, Sukan Sea dan lain-lain lagi pada suatu ketika dahulu itu bakal menjadi lebih terbuka dengan penganjuran lebih banyak aktiviti yang tertumpu kepada masyarakat sekeliling.

Tambahan pula, stadium ini juga pernah menjadi saksi akan momen kejayaan pasukan Malaysia yang layak masuk ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 selepas menewaskan Korea Selatan dengan jaringan 2 berbalas 1.

Dalam pada itu, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Pihak Stadium Malaysia (PSM) perlu mengambil inisiatif untuk melakukan penambahbaikan dari aspek kualiti termasuk rumput serta infrastruktur yang lebih moden untuk stadium tersebut.

Dengan penambahan stadium di Malaysia semestinya bakal merancakkan lagi arena sukan bola sepak negara kerana semakin banyak ‘venue’ yang dapat digunakan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan juga sukan lain

Walaubagaimanapun, usaha untuk membuka semula Stadium Merdeka yang mempunyai nilai sentimental tersendiri ini wajar diberikan pujian kerana banyak peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di tempat tersebut serta sebagai warisan kepada generasi muda hari ini.