JDT, Terengganu dan Sabah boleh sumbang lebih banyak mata MA ranking untuk Malaysia di kejohanan AFC musim ini
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengembalikan format perlawanan timbal balik di tempat sendiri dan tempat lawan dalam kejuaraan ACL Champion League (ACL) dan Piala AFC dilihat sabagai satu peluang untuk wakil kelab dari Malaysia yang akan bersaing nanti untuk menyumbangkan lebih banyak mata.
Ini adalah kerana pasukan yang bertanding dalam kejohanan berikut akan berpeluang untuk memberikan mata sekiranya berjaya meraih kemenangan dan seri dalam peringkat kumpulan dan di peringkat kalah mati.
Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi penyumbang terbanyak selepas kempen yang memberangsangkan di ACL 2022 pastinya bakal menjadi tumpuan untuk mengatasi pencapaian mereka musim lalu, sekaligus mengutip mata yang lebih tinggi.
Kuala Lumpur City FC pula yang layak ke perlawanan akhir Piala AFC juga berjaya menyumbangkan mata dalam MA Ranking, dan juga Kedah Darul Aman yang kandas di separuh akhir zon ASEAN, justeru memastikan Liga Malaysia terus berada dalam kalangan yang tertinggi dalam ranking Kejohanan Kelab AFC
Pasti musim ini dengan JDT yang akan bermain di ACL, dan Sabah FC serta Terengganu FC dalam saingan Piala AFC akan berpeluang untuk menyumbangkan lebih banyak mata dengan setiap kemenangan pada peringkat kumpulan dan seterusnya.
Tambahan pula, dengan format kejohanan AFC yang baharu bermula musim hadapan semestinya pengumpulan mata yang tinggi akan dapat meluaskan lagi peluang untuk kelab di dalam liga untuk layak secara rasmi dalam kejohanan di peringkat Asia itu pada musim hadapan.
Format pengumpulan mata yang baru dalam peringkat kumpulan menawarkan 18 mata pada peringkat kumpulan saingan ACL dan 6 lagi mata bagi Piala AFC.
Dalam peringkat kalah mati pula, bagi saingan ACL telah menawarkan 24 mata lebih banyak berbanding saingan Piala AFC yang hanya menawarkan 8 mata sahaja bagi zon Asia Tenggara dan zon lain.
Oleh itu, dengan adanya tiga wakil kelab dari Malaysia pada musim ini iaitu JDT, Sabah dan Terengganu diharapkan akan dapat menyumbangkan mata agar semakin banyak kelab di Liga Malaysia yang akan berpeluang untuk bermain di peringkat Asia.
Tiga kejohanan yang akan diperkenalkan nanti adalah AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFC Challenge Cup (ACGL).
Dengan perubahan format ini, wakil Malaysia yang beraksi pada saingan ACL dan Piala AFC musim ini menjadi harapan untuk mengutik semaksimum mungkin mata untuk melonjakkan kedudukan MA ranking Malaysia