Nak bangkit semula susah kerana kita tidak dapat tutup mulut mereka-Moon Todak

312

Zikry Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Moon daripada pasukan Todak akui dirinya mengalami kesukaran untuk kembali bangkit dek kecaman dari mulut jahat netizen di sosial media terutama apabila sebelum ini gagal menampilkan prestasi cemerlang bersama pasukannya.

Moon yang kini mengundurkan diri sebentar daripada e-sukan Mobile Legends berkata sekarang beliau mahu lebih fokus kepada keluarga dan rakan-rakan sepasukan yang sering memberinya semangat selain tidak mahu mendengar cakap-cakap netizen yang menjatuhkannya.


“Sebenarnya nak bangkit semula pun tak senang disebabkan kita berurusan dengan mereka yang kita tak boleh nak tutup pun mulut mereka tapi disebabkan ada keluarga kawan-kawan jadi saya lebih fokus kepada mereka dan itulah penyebab saya cuba untuk bangkit semula,”

jelasnya kepada Harimau Malaya.

Pemain yang bermain di posisi tengah atau magik dalam pasukan Todak itu dilamar untuk menjadi pembantu analisis buat pasukan kesayangannya itu namun masih lagi berfikir-fikir kerana beliau sendiri memberitahu sudah lama tidak merasakan rehat panjang dan masa untuk keluarga terutama selepas berkahwin.

“Sebenarnya barisan kejurulatihan mahu saya untuk sertai mereka untuk menjadi pembantu analisis tetapi buat masa sekarang saya berfiki-fikir dahulu memandangkan sebelum ini saya agak kurang berehat sebelum ini jadi kita tengok nanti,”

“Selain itu, keputusan untuk berehat ini adalah disebabkan saya sendiri disamping saya bersama isteri selepas kahwin tiada masa untuk berehat dan mungkin ini masa yang tepat untuk saya luangkan masa bersama keluarga saya dan juga sebelah isteri.”

Moon yang dilihat menghadiri perlawanan pertama Todak menentang Team SMG hari ini di Dewan Sri Putra Bukit Jalil memaklumkan kini beliau menjadi muka depan bagi Todak.