Zamsaham kata hantar dokumen untuk pemain import, jadi salah siapa Kelantan FC tak dapat daftar pemain?
Sejak jendela pendaftaran kedua pemain Liga Super ditutup baru-baru ini, Kelantan FC yang membawa masuk empat pemain import masih tidak dapat menurunkan kesemua pemain berkenaan.
Pemain-pemain yang dimaksudkan adalah Aliakbar Ahmadi, Allie Sisse, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening yang diumumkan pada hari terakhir sebelum jendela pendaftaran ditutup.
Menjawab persoalan itu, pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham berkata bahawa pihak Kelantan sebenarnya telah menghantar dokumen untuk mendaftarkan semua pemain import dan tempatan pada tarikh 27 Julai.
Namun, pihaknya menghadapi masalah untuk mengakses Sistem TMS dan telah meminta bantuan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan isu itu.
Namun, segala-galanya sudah terlambat apabila Kelantan hanya menerima kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggunakan e-mel dan kata laluan baharu pada 5 Ogos, di mana jendela sudah ditutup.
Beliau juga menyuarakan kekecewaannya kerana tidak berjaya mendaftarkan kesemua pemain tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akibat isu ini.
Disebabkan perkara ini, Kelantan mungkin akan menerima nasib malang tersingkir ke Liga M3 pada musim depan kerana pemain-pemain sedia ada ketika ini dilihat tidak cukup bagus untuk bersaing dalam Liga Super.
Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab di atas kegagalan Kelantan mendaftarkan pemain-pemain importnya pada tempoh masa yang ditetapkan?
Setakat ini, FAM masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini, mungkin menunggu hasil rayuan kedua kepada FIFA.
Pihak yang lebih rugi pastilah empat pemain tersebut yang sudah terikat dengan kontrak bersama Kelantan, tetapi tidak dapat turun bermain gara-gara perkara ini.
Jika mereka terus tidak dapat diturunkan sehingga akhir musim, sudah tentu ia boleh menjejaskan prestasi masing-masing kerana tidak dapat beraksi secara kompetitif.