Jangan jadikan isu Lee Zii Jia sebagai isu sikap, ia hanya isu pakaian – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menasihati semua pihak supaya tidak menjadikan isu Lee Zii Jia yang tidak dibenarkan memakai pakaian dengan penaja sendiri untuk mengikuti latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk mempersoalkan sikap pemain itu.
Katanya, ini bukan pertama kali isu seperti itu timbul kerana ia pernah terjadi kepada pemain profesional lain juga.
“Bagi saya isu ini biarlah BAM yang selesaikan, ini bukan pertama kali berlaku dan Zii Jia bukan satu-satunya pemain profesional yang terlibat dengan isu ini.
Tetapi biarkan isu ini jadi isu pemakaian saja dan bukan isu sikap, saya tiada komen tentang sikap,”
katanya.
Hannah berkata demikian ketika majlis pelancaran Kuala Lumpur Women’s Super League 2023 di Arena Sukan Kuala Lumpur sebentar tadi.
Beliau percaya perkara itu boleh diselesaikan oleh BAM secara dalaman tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.
Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dapat memberi masa kepada jurulatih baharu Zii Jia iaitu Wong Tat Meng untuk membentuk pemain itu.
“Saya percaya dengan adanya jurulatih baharu beliau akan dapat tumpukan usaha yang lebih strategik dengan tunjuk ajar yang betul.
Kita harus beri masa kepada Tat Meng untuk laksanakan tanggungjawab beliau, ia memang mengambil masa.”