Apa akan jadi jika Melaka United FC dikenakan larangan perpindahan?
Ketika ini isu tunggakan gaji pemain pasukan Melaka United FC (MU) menjadi buah mulut peminat yang rata-rata tidak berpuas hati apabila pasukan itu dikatakan menjadi ‘anak emas’ Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini susulan peminat mempertikai dan mempersoal bagaimana pasukan Melaka masih diberikan lesen walaupun sering berdepan masalah tunggakan gaji sejak beberapa musim lalu.
MFL bagaimanapun tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan berkata pihak MFL telah mengenakan hukuman pemotongan mata kepada skuad Hang Tuah sebelum ini.
Melaka yang kini berdepan tunggakan gaji tiga bulan diarahkan untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain sebelum 31 Januari ini.
Sekiranya gagal, MFL akan mengenakan hukuman larangan perpindahan pemain kepada pasukan itu.
Bagaimanapun timbul persoalan di kalangan peminat iaitu apa akan terjadi kepada pemain-pemain yang baru sahaja menandatangani bersama Melaka. Adakah kontrak mereka akan terbatal? Jika perkara ini berlaku ia bakal menutup periuk nasi pemain yang pasti akan berdepan kesukaran mencari pasukan baru pada musim ini.
Larangan perpindahan itu akan berkuatkuasa pada 1 Februari secara automatik sehingga semua bayaran dilunaskan.
Terdahulu isu tunggakan gaji pemain Melaka timbul selepas satu pendedahan dibuat oleh bekas pemain Melaka iaitu Khairul Helmi dan Khairul Fahmi.
Pihak pengurusan Melaka turut membuat kenyataan mereka kini sedang dalam proses akhir penstrukturan semula kewangan dan memberi jaminan akan menyelesaikan kesemua tunggakan dalam masa terdekat supaya perancangan bagi musim 2022 berjalan lancar.
Ketika ini Melaka belum mengumumkan siapakah pemain baru mereka untuk musim ini tetapi mereka telah memberi gambaran akan membawa masuk pemain baru tidak lama lagi.
Desas-desus mengatakan bekas penyerang import Selangor FC, Ifedayo Olusegun bakal kembali menyertai pasukan itu, namun ia masih samar kerana jika Melaka dikenakan larangan perpindahan maka Ifedayo tidak dapat menyarung jersi Hijau Putih musim ini.
Selain Melaka, Sarawak United FC juga terpalit dengan masalah tunggakan gaji telah diberi tempoh 14 hari untuk langsaikan.
Sarawak berhutang dengan 39 pemain dan pegawai yang mana 15 daripadanya dibayar penuh, hanya tiga individu belum lagi menandatangani perjanjian bersama, 14 hingga 19 pemain ada perjanjian bersama.
Jika gagal, MFL akan mengenakan larangan perpindahan dan pemotongan mata bermula.
Isu tunggakan gaji sudah menjadi virus dalam dunia bola sepak tempatan apabila saban tahun ada sahaja pasukan yang mengalami masalah sama.
Adakah ia berpunca daripada pihak pengurusan tidak cekap menguruskan kewangan pasukan, atau pemain-pemain bersikap ‘demand’ gaji lumayan?
Setiap pasukan perlu mengamalkan konsep ‘ukur baju di badan sendiri’ supaya pasukan tidak terjerat dengan masalah kewangan.