Xorn nasihatkan pasukan lain ‘respect ban’ Franco, Chibi bersedia mahu ‘bantai’ Team SMG
Roamer pasukan HomeBois, Xorn menasihati pasukan-pasukan lain supaya mengamalkan ‘respect ban’ terhadap hero Franco apabila berdepan pasukannya.
Katanya, semua boleh melihat apa yang terjadi ketika perlawanan menentang RSG MY, di mana beliau berjaya membantu pasukannya mencatat kemenangan apabila pihak lawan melepaskan Franco.
“Kepada semua pasukan, anda lihatlah sendiri perlawanan ketiga menentang RSG MY, apabila lepaskan Franco memang mood rasa lain.
RSG MY memang bagus, mereka keluarkan Franco dalam dua perlawanan pertama, tetapi entah mengapa perlawanan ketiga mereka lepaskan,”
katanya.
Pada perlawanan menentang Lunatix sebentar tadi, Xorn membantu pasukannya menang perlawanan pertama menggunakan Franco.
Dalam pada itu, jurulatih HomeBois, Pabz berkata beliau berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjaya menewaskan Lunatix 2-0.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum boleh merasa selesa dan perlu memperbaiki beberapa kesilapan untuk perlawanan-perlawanan selepas ini.
“Memang saya puas hati hari ini kerana pemain semua bersungguh-sungguh dan melakukan seperti apa yang dirancang.
Namun, kita tak boleh terlalu berpuas hati kerana pada kita lihat ada beberapa kesilapan yang kita lakukan, itu semua kita kena analisis dan perbaiki nanti.”
Mengenai perlawanan seterusnya menentang Team SMG, jungler pasukan, Chibi bertekad mahu membalas dendam atas kekalahan di pusingan play-off musim lalu.
Beliau percaya HomeBois lebih bersedia pada musim ini dan mampu mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu nanti.