Ryotaro Shishido kahwini gadis Melayu, akui akad nikah sangat sukar

274

Peminat bola sepak asal Jepun, Ryotaro Shishido atau nama Islamnya Amir Ryo Shishido yang ditemui Harimau Malaya ketika Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Larkin tahun lalu kini sah bergelar suami kepada Siti Nur Amirah.

Perkenalan di atas talian bersama Amirah atau lebih mesra dikenali sebagai Mia, membuka mata Amir Ryo tentang keindahan negara Malaysia di samping melihat keharmonian masyarakat yang majmuk dan baik hati.


“Saya sudah tinggal di malaysia sejak dua tahun lalu dan selepas Covid-19 sudah mula reda, saya pergi ke Johor untuk menonton perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan saya bertemu dengan anda (Harimau Malaya),

Kemudian saya jatuh cinta dengan negara Malaysia, negara ini sangat baik dan ramai orang Jepun yang menyukai negara ini. Jadi sekarang saya sudah berkahwin dengan orang Malaysia selain sedang belajar Bahasa Malaysia juga sedikit demi sedikit,”

jelasnya kepada Harimau Malaya.

Dalam majlis perkahwinan tertutup yang dilangsungkan di Seremban, Negeri Sembilan itu Ryo serta pasangannya mengenakan dua persalinan busana iaitu Melayu moden dan juga tradisional Jepun.

Amir Ryo akui akad nikah hari ini merupakan detik yang paling sukar beliau lalui disamping telah membuat keputusan yang paling besar dalam hidupnya untuk berhijrah ke agama Islam.

“Berhijrah ke agama Islam bukan suatu yang mudah untuk saya buat keputusan tetapi kawan saya yang juga orang Malaysia dan beragama Islam sangat baik dengan memberikan tunjuk ajar jadi saya juga amat tersentuh dengan kebaikan dan sokongan antara satu sama lain sekaligus membuatkan saya jatuh cinta dengan agama ini dan berhijrah,

Akad nikah sangat susah bagi saya, saya berlatih setiap masa dan dengan sokongan isteri dan rakan-rakan saya berjaya menjalani akad nikah tadi,”

Beliau turut teruja untuk menantikan undian ACL musim ini dan berharap akan ada pasukan Jepun yang bertandang ke gelanggan Harimau Selatan itu dan beliau sendiri akan turun untuk memberikan sokongan.

Turut berkongsi pengalaman beliau sebelum ini di Jepun tatkala JDT menentang Urawa Reds di Stadium Saitama tahun lalu, Amir Ryo tidak malu untuk menyokong gergasi Selatan tersebut dan beliau merasakan JDT semakin gagah saban tahun.

“Terdahulu ketika Urawa reds menentang JDT di Stadium Saitama, Jepun saya menyokong pasukan JDT dan Corbin Ong antara yang baik dengan saya,

Sekarang JDT telah menjadi semakin kuat tahun demi tahun sehinggakan ada pemain Jepun yang bermain di JDT sekarang dan jika JDT datang ke Jepun saya akan sokong mereka.”

Akhir sekali, kami di Harimau Malaya tidak mahu melepaskan peluang ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat Ryo dan Mia pasangan mempelai dan mendoakan agar hubungan yang terjalin hari ini kekal hingga ke Jannah.