Saya tidak berpuas hati dengan persembahan Youssef hari ini-K.Devan
Penampilan sulong import baharu pasukan Negeri Sembilan FC, Youssef Ezzejjari dalam kancah Piala Malaysia mala mini menentang Kelantan United gagal raih perhatian K.Devan meskipun berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu pasukan layak ke peringkat seterusnya.
K.Devan menyifatkan persembahan yang ditonjolkan import baru mereka itu masih belum mencukupi untuk menjadikan beliau pilihan utama sebagai penggempur bahagian serangan skuad Jang itu.
“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan Youssef hari ini meskipun beliau menjaringkan gol melalui sepakan penalti tapi belum cukup lagi bagi saya,”
jelasnya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan masalah kekurangan pemain import memandangkan bilangan pemain import mereka tidak seramai pasukan Liga Super Malaysia yang lain dan tidak pernah satu perlawanan lagi musim ini kesemua pemain importnya bermain bersama.
“Memang kita menghadapi banyak masalah sekarang terutama melibatkan pemain import yang mana kini Cassagrande mengalami kecederaan dan ini masalah kita sepanjang musim apabila di awal musim kita ada empat orang pemain import namun tidak pernah pemain-pemain ini bermain dalam satu perlawanan,”
Dalam kesesakan kekurangan pemain import, K.Devan berjaya membawa anak buahnya melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas berjaya menundukkan skuad Kelantan United dengan agregat jaringan 5-2 dan bakal berdepan gergasi Selatan, Johor Darul Ta’zim.
K.Devan akui perjalanan mungkin akan sedikit sukar menentang juara bertahan JDT namun beliau memohon para penyokong untuk menghentikan hentaman serta cacian terhadap pemainnya yang bermain bersungguh-sungguh meskipun mereka dilanda masalah dalaman kelab baik di dalam mahupun luar padang.
“Sekarang kita ada macam-macam masalah dalam pasukan yang saya tidak boleh cakap dan bagi mereka yang tidak tahu masalah itu mereka akan lemparkan komen-komen yang saya rasa tak padan dengan apa yang pemain telah tunjukkan,”
“Jangan kita bandingkan gergasi liga yang lain jika saya terus terang bajet Selangor dibandingkan kita ibarat lima kali ganda lebih besar, jadi saya harap penyokong bersabar dan tetap memberikan sokongan kerana kalau mereka tetap mengecam dan maki pemain pasukan Negeri Sembilan FC tidak akan pergi jauh.”