Isu gaji timbul tapi tiada pemain Negeri Sembilan FC buat aduan rasmi lagi

439

Bola sepak Malaysia tidak pernah lekang dengan pelbagai masalah terutamanya apabila membabitkan isu tunggakan gaji.

Saban tahun isu tunggakan gaji ini pastinya akan kedengaran dan sejak kebelakangan ini isu tunggakan gaji tampak semakin parah apabila ia berlaku sejak dari awal musim lagi dan sehingga kini terus berlanjutan.


Jika sebelum ini isu tunggakan gaji hangat diperkatakan mengenai kelab Kelantan FC, namun baru-baru ini kecoh pula dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dikatakan turut berdepan masalah gaji.

Ia susulan kenyataan daripada Zaquan Adha yang meluahkan rasa berangnya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di media sosialnya baru-baru ini sekaligus seperti mengiyakan spekulasi masalah gaji yang berlaku dalam skuad Jang Hobin.

Malah ketua jurulatih, K. Devan dalam sidang media selepas perlawanan Piala Malaysia semalam turut mengakui mereka kini sedang mengalami banyak masalah.

Bagaimanapun sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan NSFC.

Dalam pada itu, satu sumber memberitahu disebalik perkhabaran mengenai masalah gaji yang berlaku dalam kelab itu, namun sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi dibuat.

“Memang ada dengar cerita NSFC ada masalah gaji, tapi sehingga kini masih tiada sebarang aduan rasmi yang dibuat oleh pemain kepada MFL (Malaysian Football League) atau PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sumber tersebut juga berkata sekiranya pemain-pemain tidak membuat aduan rasmi mengenai masalah yang mereka hadapi dan hanya meluahkannya di media sosial, masalah mereka tidak boleh selesai.

Oleh itu, amat penting untuk seseorang pemain yang berdepan masalah gaji untuk tampil membuat aduan rasmi kepada PFAM atau pun kepada MFL supaya tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Pihak MFL tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya sekiranya tiada aduan rasmi daripada pemain itu sendiri.

Sementara itu, pemain-pemain perlu bersikap peka terhadap isu-isu seperti ini dan mengambil tindakan melalui saluran yang tepat untuk memastikan masalah yang dihadapi mereka dapat diselesaikan.

Mereka boleh meluahkan masalah di media sosial masing-masing, tetapi mereka juga perlu pastinya aduan rasmi dibuat supaya tindakan dapat diambil dan bukannya sekadar ‘bising’ di media sosial sahaja dengan mengharapkan ia dapat diselesaikan tanpa mengikut prosedur.