“Tak macam dulu, atlet muda sekarang mudah hilang fokus!” – Shalin
Harimau Malaya mendapatkan Shalin Zulkifli sebagai ratu boling dan antara bekas atlet senior negara yang telah 29 tahun mencurahkan khidmatnya kepada arena sukan boling negara untuk memberikan pandangan dan nasihat beliau kepada atlet-atlet muda yang bakal menjadi pelapis masa depan sukan negara terutamanya sukan boling.
Shalin sendiri yang bermula seawal usia sembilan tahun, mengakui bahawa cabaran untuk menjadi atlet memang tidak mudah. Tambahan pula dengan zaman serba canggih ini, terlalu banyak distraction perlu dihadapi. Tetapi sebagai atlet, mereka perlu ada dan sentiasa berpegang pada big why mereka menceburi bidang ini. Dengan cara itu, mereka akan sentiasa berpegang pada target yang mereka ingin capai, iaitu untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Atlet muda perlu tahu cara untuk meletakkan keutamaan bahawa tiada yang lebih penting berbanding goals dan target mereka. Mereka juga perlu bijak menangani tekanan jika diberi spotlight sebagai atlet pelapis harapan. Jangan jadikan itu sebagai bebanan malah sebaliknya, jadikan kejayaan senior-senior terdahulu sebagai pemangkin semangat untuk mereka lakukan yang lebih baik.”
Mengulas tentang bagaimana beliau sendiri menghadapi semua cabaran itu ketika zaman kegemilangannya, Shalin berkata beliau sendiri telah banyak didedahkan dengan cara menangani media kerana ibunya berkecimpung dalam bidang tersebut dan mungkin atlet sekarang tidak sedia maklum. Dengan sokongan keluarga juga, sentiasa ada yang membimbing dan mengingatkan jika beliau terleka.
Mengakui bahawa kualiti pemain sekarang agak kurang dan hanya lebih kepada kuantiti, Shalin berharap agar generasi muda ini dapat mengambil inisiatif untuk membuka hati dan minda mereka untuk belajar dan bukan berharap sepenuhnya kepada jurulatih semata-mata untuk berkembang dan memperbaiki diri mereka.
Ditanya mengenai bakal wujudkah ‘the next Shalin Zulkifli’? Beliau menjawab..
“Bergantung kepada pelapis. Mereka perlu banyak belajar, tahu sejarah, dan step by step tentang sukan yang diceburi. Sekarang sepatutnya lebih mudah untuk proses mereka belajar kerana ada banyak akses teknologi yang lebih baik”
Ujarnya kepada Harimau Malaya
Mengakui terbit sedikit rasa tawar hati untuk melatih atlet muda kerana beliau adalah seorang coach yang mementingkan disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan atlet. Bagi Shalin, kejayaan seorang atlet bergantung pada diri mereka sendiri. Jika tiada kualiti yang diperlukan seperti usaha dan sikap ingin belajar, adalah mustahil untuk mereka berjaya.
Shalin pernah memenangi lima kali kejuaraan dunia, Kejohanan Belia Asia, SEA Games, kejohanan terbuka dunia dan juga pernah dinobatkan sebagai Olahragawati kebangsaan sebanyak lima kali. Bekas ratu boling negara itu mengumumkan persaraannya awal tahun lalu dan kini terlibat dengan litar boling profesional.