Indonesia bakal dapat penjaga gawang Inter Milan?
Bapa kepada penjaga gawang berdarah Indonesia-Itali, Edy Mulyadi tidak menolak jangkaan sekiranya anaknya iaitu Emil Audero Mulyadi yang kini bermain bersama kelab gergasi Eropah, Inter Milan bakal menyarung jersi Indonesia pada suatu hari nanti.
Beliau yang masih berusia 26 tahun dilihat bakal menjadi prospek terbaik untuk mengisi tempat sebagai penjaga gawang utama skuad kebangsaan Indonesia berikutan aset seperti Emil dilihat penting kerana negara itu juga akan menghadapi saingan Kejohanan Piala Asia Qatar 2023 pada Januari tahun depan.
Sebelum ini bapanya pernah menolak dakwaan anaknya akan menyarung jersi Skuad Garuda itu kerana beranggapan sekiranya anaknya bermain di Eropah adalah lebih baik serta berpeluang untuk anaknya bermain di Piala Dunia bersama skuad Itali.
Tetapi kerana persaingan yang sengit di bahagian penjaga gawang serta perlu bersaing dengan nama-nama besar seperti Gianluigi Donnarumma dan Alex Meret, semestinya akan meyukarkan lagi nama beliau untuk disenaraikan dalam skuad kendalian Roberto Mancini itu.
Ketua jurulatih skuad Indonesia Shin Tae-yong sebelum ini juga pernah menunjukkan minat terhadap penjaga gawang itu dan mahukan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) segera mendaftarkan beliau sebagai pemain naturalisasi Indonesia.
Tambahan pula, pengalaman beliau sebagai penjaga gawang utama sebelum ini bersama kelab Vanezia, Sampdoria dan juga pernah bermain bersama Juventus di Seria A pasti menarik minat mana-mana jurulatih di Asia untuk menjadikan beliau sebagai tonggak utama dalam pasukan.
Sekiranya beliau bermain bersama skuad Indonesia kelak pasti bakal merancakkan lagi perkembangan bola sepak di Rantau Asia Tenggara serta akan menjadi satu kelebihan kepada skuad Indonesia dalam meningkatkan kualiti bola sepak mereka.