Program MyTID akan diteruskan dengan sokongan KPM – Faedzal Ramli

437

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli memberitahu bahawa program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) akan diteruskan lagi dengan sokongan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Faedzal, MyTID adalah sebuah program untuk mengenal pasti bakat murid dalam bidang sukan dan seterusnya membangunkan potensi mereka ke tahap lebih tinggi.


“Program MyTID ini adalah inisiatif dari ISN untuk bekerjasama dengan KPM dalam menambah baik proses pengenalpastian di peringkat akar umbi kerana kita semua sedar bahawa sekolah merupakan tempat terbaik di mana kita ada beratus ribu talent pool.

Jadi kita merasakan sekiranya kita berupaya untuk hasilkan satu proses pengenalpastian berstruktur dan berasaskan data, kita mampu untuk sedikit sebanyak dapat menambahbaik ekosistem dan juga jalan untuk pengenalpastian bakat ini.

Pada masa ini secara dasarnya kami akan laksanakan secara proof of concept (POC) bersama pihak KPM dan bersama Kementerian Belia dan Sukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, buat masa ini mereka akan memberi fokus kepada Training of Trainers (TOT) yang dilaksanakan tahun lalu bersama guru-guru di seluruh Malaysia.

Guru-guru terpilih ini diberi gelaran sebagai Talent Eagles yang mana mereka yang mendapat latihan ini mampu dalam pengenalpastian bakat.

Dalam pada itu, beliau turut berkata MyTID adalah sebuah program yang harus dilakukan kerana sebagai sebuah negara yang mahukan kemajuan sukan.

“Kalau kita tak cuba MyTID bagi saya sayang sebagai sebuah negara yang nak maju dalam sukan, kita perlu laksanakan baby step ini walaupun dengan cabaran-cabaran tertentu, bagi saya kita perlu mulakan sesuatu yang mampu memberi impak untuk jangka masa panjang.”

Terdahulu, Faedzal hadir dalam Majlis Perasmian Program ISN Inspire 2023 dan Pelantikan Anggota Lembaga Baharu ISN.