Tahniah kepada pemain selepas empat tahun kita akhirnya berjaya ke separuh akhir – E. Elavarasan

244

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan gembira dengan persembahan pemainnya selepas mereka berjaya mara ke perlawanan separuh akhir Piala AFF B-23 malam tadi.

Ia susulan kemenangan 3-1 ke atas Timor Leste dalam perlawanan kedua Kumpulan B yang menyaksikan skuad Harimau Muda menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara selepas dua kemenangan.


“Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain kerana lepas empat tahun kita akhirnya berjaya mara ke separuh akhir.

Kita datang dengan matlamat untuk menang dan kita berjaya mencapainya,”

katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rayong, Thailand menyaksikan Alif Ikmalrizal berjaya menjaringkan dua gol dan Aliff Izwan Yuslan satu gol untuk mengesahkan kemenangan berjaya skuad negara.

Dalam pada itu, Elavarasan berkata beliau membuat banyak pertukaran pada separuh masa kedua bagi memastikan mereka ada kelebihan sehingga ke wisel penamat.

“Kita akan gunakan tempoh rehat sehari untuk buat recovery untuk mempersiapkan pemain untuk perlawanan separuh akhir nanti.”

Malaysia akan turun beraksi di separuh akhir menentang Vietnam pada 24 Ogos ini.