Pemilihan Faisal Halim dan Hong Wan curi perhatian peminat bola sepak tempatan
Sejurus selepas senarai pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama skuad Harimau Malaya telah dikeluarkan semalam, nama Faisal Halim dan Shio Hong Wan antara yang menarik perhatian para peminat bola sepak tempatan.
Hal ini berikutan Faisal Halim sebelum ini telah digantung dan langsung tidak mendapat minit permainan yang kompetitif bersama Selangor FC berikutan telah di denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kenyataan tidak profesional.
Perkara tersebut menunjukkan bahawa pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon masih meletakkan kepercayaan penuh pada pemain itu serta akan menjadi tonggak penting dalam memburu kemenangan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 kelak.
Sepanjang aksi bersama skuad kebangsaan juga Faisal telah berjaya membuat 11 jaringal gol dan enam bantuan jaringan serta di bawah jurulatih dari Korea Selatan itu beliau telah beberapa kali diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan.
Dalam pada itu, harapan para peminat untuk melihat aksi Hong Wan ketika menyarung jersi Harimau Malaya juga pasti akan menjadi kenyatan apabila nama pemain itu turut disenaraikan sekali lagi walaupun sebelum ini nama beliau terpaksa digugurkan.
Dengan aksi yang cemerlang bersama Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini pasti kelibat beliau bakal menjadi taruhan untuk mengawal bahagian tengah nanti ketika bermain bersama pasukan yang berada pada kedudukan tinggi seperti China dan Syria.
Sekiranya mereka diberi kepercayaan dan mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan persahabatan nanti, pastinya Pan-gon akan mengekalkan mereka dalam skuad negara untuk kempen Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 nanti.