Terengganu adalah pasukan hebat dengan penyokong hebat, akan jadi cabaran buat kami – Shaun Mielekamp
Pengurus pasukan Centarl Coast Mariners, Shaun Mielekamp teruja untuk beraksi menentang Terengganu FC dalam saingan Piala AFC 2023.
Katanya, beliau mendengar bahawa Terengganu adalah pasukan yang baik dengan penyokong yang meriah.
“Ini merupakan kali pertama kami bermain di Piala AFC, kami dengar Terengganu adalah pasukan yang hebat dengan penyokong yang hebat.
Ia pasti bakal menjadi satu cabaran buat kami, tambahan pula kami adalah sebuah kelab akademi dengan ramai pemain muda,”
katanya.
Walaupun pada satu ketika pernah bermain di saingan AFC Champions League (ACL) dengan kerap, beliau merasakan saingan Piala AFC tidak mudah buat pasukan itu.
Katanya, saingan bola sepak di Asia semakin meningkat sejak kali terakhir mereka beraksi di ACL.
“Saingan di Asia semakin tinggi dan kita tahu tahap Piala AFC juga semakin sukar sekarang.”
Beliau mengakui salah satu cabaran buat pasukannya adalah perjalanan jauh untuk perlawanan tempat lawan.