Kami banyak membuat kesilapan di bahagian pertahanan – E. Elavarasan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan mengakui kekalahan pada peringkat separuh akhir Piala AFF B-23 menentang Vietnam pada hari ini adalah kerana pasukan bimbingannya itu tidak menunjukkan corak dan gaya permainan seperti pada kebiasaannya.
“Saya merasakan permainan kami pada separuh masa pertama tidak begitu efektif dan para pemain tidak menunjukkan aksi kebiasaan permainan mereka. Kami banyak membuat kesalahan di bahagian pertahanan,”
katanya.
Elavarasan juga menganggap faktor keletihan serta cuaca yang terpaksa bermain pada sebelah petang bukanlah punca utama kepada kekalahan pasukan bimbingannya itu pada hari ini.
“Saya tidak merasakan faktor keletihan adalah punca utama kekalahan kami pada hari ini kerana Vietnam juga mempunyai jadual perlawanan yang sama.”
Beliau bagaimanapun menganggap kejuaraan pada kali ini adalah peluang dan ruang untuk beliau melihat sendiri pemain-pemain yang mempunyai potensi serta berbakat.
Malah kejohanan tersebut juga adalah merupakan satu medium untuk para pemain memberikan aksi terbaik mereka terutamanya apabila bertemu dengan pasukan yang berada pada standard yang lebih baik.
“Kami dapat mengetahui kualiti yang ada pada setiap pemain. Kami juga dapat melihat pemain yang berusaha untuk menyerlahkan diri mereka untuk bermain dalam kejohanan di peringkat tinggi seperti ini.”