Produk KN Kiara FC sudah berjaya diserap ke KDA FC

1,603

Serba kekurangan tidak pernah menjadi penghalang buat Presiden  KN Kiara FC, Mohamed Faisal bin Haji Abdullah untuk meneruskan usahanya dalam mewujudkan ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik untuk beri peluang kepada pemain-pemain luar bandar.

Menurut Faisal, beliau mahu memastikan pemain-pemain ini mendapat latihan dan pendedahan sekaligus dapat meningkatkan bola sepak di luar bandar terutamanya daerah Padang Terap khususnya.


Kerja keras dan tidak pernah kenal erti putus asa sejak lima tahun lalu telah membuahkan hasil apabila beberapa pemain dari kelab itu berjaya diserap ke skuad belia Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

“KN Kiara bermula pada tahun 2018 dan setakat ini kita ada enam pemain KN Kiara yang telah diserap ke skuad belia KDA FC iaitu KDA C, KDA D dan KDA E dan kini sedang beraksi bersama skuad Sang Kenari,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut memberitahu fokus utama penubuhan KN Kiara adalah untuk pemain di bawah kategori 12 tahun, namun kini kelabnya turut mempunyai pemain untuk skuad bawah 15 tahun dan juga 17 tahun.

“Kita buat pembangunan dengan fokus untuk bawah 12 tahun tapi kita ada juga bawah 15 dan 17.

Untuk bawah 12 tahun setakat ini kita ada 40 pelatih dan kesemua pelatih ini adalah penduduk yang tinggal di daerah Padang Terap. Jadi jumlah keseluruhan pelatih untuk bawah 12, 15 dan 17 sekitar 80 pelatih.”

Dalam pada itu, Faisal berkata walaupun KN Kiara adalah sebuah kelab bola sepak swasta namun mereka tidak mengenakan sebarang bayaran untuk pelatih kerana sedar akan situasi pelatih yang datang dari keluarga yang tidak berkemampuan.

“Seperti yang kita tahu daerah Padang Terap ini agak terpencil dan jauh dari Pekan Alor Setar, jadi latar belakang masyarakat adalah dari golongan petani jadi untuk waris pelatih ini mereka tidak berkemampuan untuk bawa anak mereka ke kelab-kelab yang berada di pekan kerana jauh.

Jadi saya cuba wujudkan program pembangunan dekat dengan mereka pada kadar yang mampu dan ia telah berjaya menarik ramai anak-anak untuk menyertai.”

Sementara itu, Faisal mengakui tidak mudah untuk menguruskan program pembangunan di daerahnya kerana masalah utama yang perlu dihadapinya adalah kekangan kewangan di mana mereka memerlukan bajet untuk pelbagai kegunaan seperti peralatan termasuk kos untuk menyertai kejohanan.

“Sebagai kelab untuk pembangunan bola sepak akar umbi di kawasan terpencil, cabaran utama kita adalah kekangan dana kerana seperti yang saya katakan tadi, waris-waris di kawasan ini dari petani.

Kadang-kadang pemain berminat tapi waris tidak mampu, jadi hasrat saya untuk masa akan datang saya harapkan KN Kiara ini dapat tajaan daripada mana-mana individu atau syarikat yang dapat bantu untuk bersama kami untuk buat program pembangunan bola sepak di daerah Padang Terap.”