Semua pemain mahu berbakti pada negara, tiada yang mahu datang dengan sia-sia – Ubaidullah Shamsul
Ketua pasukan skuad B-23 negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili merasa kecewa akan kekalahan kepada pasukan Vietnam semalam tetapi beliau tetap komited bahawa moral pasukannya masih dalam keadaan yang positif serta bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Thailand esok.
“Semestinya saya merasa kecewa akan keputusan perlawanan semalam tetapi saya percaya moral rakan pasukan masih bersemangat untuk pulang dengan tempat ketiga,”
katanya.
Ubaidullah menganggap perlawanan menentang Thailand pada esok hari merupakan satu cabaran memandangkan Thailand sebuah pasukan yang kuat dalam edisi kejohanan kali ini dan mampu untuk memberikan saingan kepada skuad muda negara.
“Persediaan perlawanan menentang Thailand seperti biasa. Kami hanya lebihkan pada aspek fokus serta akan berkerja keras lagi memandangkan Thailand pasukan yang kuat.”
Perlawanan penentuan tempat ketiga adalah satu sasaran buat beliau dan pasukan untuk sekurang-kurangnya pulang dengan kedudukan podium.
Malah, perlawanan esok juga adalah ruang buat semua pemain untuk menunjukkan potensi yang dimiliki untuk memikat hati ketua jurulatih E. Elavarasan sebelum saingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
“Kami akan berikan yang terbaik untuk menunjukkan pada jurulatih akan kebolehan yang kami ada. Semua pemain mahu berbakti kepada negara tiada yang mahu datang dengan sia-sia.”