Kejohanan ini sangat bermakna buat ibu-bapa untuk melihat bakat anak mereka – Juliana Evans
Selebriti terkenal Che Puan Juliana Evans menganggap kehadiran ibu bapa pada kejohanan Asian Grassroot Football Championship 2023 untuk memberikan sokongan kepada anak-anak sangat penting untuk menaikkan moral dan semangat mereka.
“Kejohanan ini sangat bermakna buat ibu-bapa untuk melihat bakat anak mereka yang mengambil bahagian dalam usaha memupuk semangat kesukanan dan kesihatan mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Juliana juga percaya dengan adanya ibu-bapa yang menyokong anak-anak mereka dalam aktiviti sukan secara tidak langsung dapat membantu perkembangan anak-anak mereka yang mengambil bahagian untuk lebih menyerlah.
“Kehadiran ibu bapa yang turut serta dalam memberikan sokongan akan dapat meningkatkan semangat dan kredibiliti anak anak kerana ibu bapa adalah individu yang anak-anak ingin banggakan.”
Beliau juga berharap dengan adanya kejohanan seperti ini akan dapat terus menjadi penanda aras buat anak anak mereka kekal fokus.
“Saya harap anak saya akan lebih aktif dalam aktiviti sukan dan ketika mengikuti aktiviti di luar sekolah. Kejohanan ini juga saya percaya mampu memupuk semangat anak-anak kecil untuk pergi lebih jauh.”