Masih jauh perjalanan untuk lihat banyak kelab dari Malaysia beraksi di pentas ACL

576

Peminat bola sepak tanah air terutamanya peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) teruja untuk menanti saingan AFC Champions League (ACL) yang akan membuka tirainya 19 September ini.

Juara bertahan Liga Super telah diundi dalam Kumpulan H bersama Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan BG Pathum United yang mana sudah pastinya mereka akan cuba untuk memperbaiki keputusan musim lalu apabila berjaya mara ke Pusingan 16.


Bagaimanapun, bukan JDT yang hendak diperkatakan sebaliknya mengenai bilakah kita akan melihat kelab lain selain JDT untuk turut bersama beraksi di pentas tertinggi Asia itu.

Sebelum ini Kedah Darul Aman FC dan Perak FC pernah bermain di pusingan play-off ACL, namun perbezaan kualiti membuatkan kedua-dua kelab itu kandas sekaligus menyaksikan hanya JDT menjadi wakil tunggal Malaysia.

Pada musim lalu, dua wakil dari Malaysia iaitu Kedah Darul Aman FC dan KL City FC telah beraksi di Piala AFC yang menyaksikan skuad The City Boys berjaya mencipta sejarah apabila berjaya menjadi naib juara.

Tidak dinafikan Piala AFC menjadi platform terbaik untuk pasukan cipta nama di pentas Asia, namun apabila bercakap mengenai kejohanan paling berprestij di Asia sudah semestinya ACL akan menjadi tumpuan.

Peminat kini masih menunggu kelab lain selain JDT untuk turut sama beraksi di ACL satu hari nanti, dan berdasarkan pemerhatian ketika ini apa yang boleh disimpulkan adalah kelab-kelab lain masih jauh ketinggalan untuk bermain di ACL.

Melihat kepada kelab-kelab yang beraksi di ACL, mereka mempunyai banyak persamaan berbanding kelab yang beraksi di Piala AFC.

Antara perkara utama persamaan yang adalah sudah semestinya mereka mempunyai pengurusan yang cukup profesional dalam mengurus sebuah kelab bola sepak profesional.

Perkara paling diutamakan adalah soal kebajikan pemain dan juga staf kelab yang mana ia diterjemahkan menerusi kejayaan yang dikecapi oleh kelab itu sendiri.

Mungkin ada yang mengatakan isu gaji remeh, tapi ia sebenarnya memberi impak yang cukup besar kepada pemain kerana mereka tidak akan dapat memberi fokus 100% jika berlakunya masalah kewangan.

Apabila tiada masalah gaji, pemain dapat memberi tumpuan penuh pada aksi mereka di atas padang dan akan berusaha keras memastikan pasukan berjaya memperolehi kemenangan.

Setiap individu yang terlibat dalam kelab adalah penting dan mempunyai tugasan masing-masing termasuklah kitman yang turut terlibat secara langsung dalam kejayaan sesebuah kelab itu.

Pada masa sama, kelab-kelab ini turut mempunyai fasiliti berkelas dunia seperti stadium, pusat latihan, pusat rawatan dan bermacam-macam lagi untuk memastikan pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik untuk mengharungi musim yang padat.

Pemilik yang mempunyai passion dalam bola sepak menjadi nilai tambah kepada sesebuah kelab dan sekiranya pemilik bukan peminat tegar bola sepak, beliau perlu melantik individu yang mempunyai kepakaran dalam selok belok dunia bola sepak.

Untuk menjadi sebuah kelab gergasi, pasukan perlu mempunyai corak permainan bola sepak yang berkualiti untuk cuba menang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Oleh itu, untuk melihat kelab lain dari Malaysia untuk beraksi di ACL agak mustahil buat masa ini kerana masih banyak kelab yang bergelut dengan beberapa perkara yang merupakan cukup penting sekiranya mereka ingin bersaing di pentas tertinggi Asia.

Bagaimanapun, setiap kelab ketika ini cuba melakukan yang terbaik untuk menjadi sebuah proper football club, jadi mereka perlukan masa untuk mencapai sasaran tersebut.

Apa pun kita harapkan dalam tempoh lima tahun akan datang ini Malaysia akan mempunyai lebih dari satu kelab di ACL dengan menjadikan negara jiran Thailand sebagai contoh terbaik kerana mereka mempunyai tiga wakil di ACL pada tahun ini.

Dalam bola sepak tiada apa yang mustahil, jadi kita harapkan satu hari nanti Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil di ACL.