Mahu bersama Votafogo rebut slot ke MPFL-Muhamad Mukhlis

58

Ketu pasukan FC Votafogo, Muhamad Mukhlis tidak mahu meninggalkan pasukannya selain mahu usaha bersama-sama Votafogo meraih slot untuk terjun ke dalam kancah Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada masa akan datang.

FC Votafogo membuat penampilan sulung mereka di pentas antarabangsa apabila tumpas dalam satu perlawanan persahabatan menentang Atletico Brisbane dengan skor 2-8 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam semalam.


Bermain dengan sangat baik, ketua pasukan FV Votafogo itu tidak mahu sekadar menyimpan niat di dalam dirinya sahaja untuk bermain di peringkat profesional dalam sukan futsal dan ingin membawa bersama-sama Votafogo beraksi di liga tempatan.

“Saya secara peribadi ada niat dan cita-cita untuk bermain di peringkat kebangsaan tapi sekarang saya mahu tetap bersama Votafogo dan mana tahu kelak pasukan ini mampu bersaing rebut slot ke MPFL,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Mukhlis sendiri pengalaman kali pertama bermain dengan pasukan antarabangsa sememangnya mengejutkan apabila fizikal dan corak permainan mereka sangat berbeza namun satu pasukan sudah bermain dengan sehabis baik bagi memberikan saingan kepada pihak lawan.

“Permainan kami agak baik, tapi tak terlalu baik sepenuhnya kerana banyak lagi kami kena belajar memandangkan ini merupakan perlawanan antarabangsa pertama kami bertemu dengan pemain yang fizikal yang besar tapi kami akan cuba lebih baik dalam masa akan datang,”

Apa yang lebih mengejutkan bagi pemain adalah sambutan daripada penyokong yang membanjiri ruangan tempat duduk sekaligus memberikan sokongan padu kepada FC Votafogo yang mana asalnya pasukan ini cuma ditubuhkan untuk bermain di masa lapang sahaja.

“Sangkaan awal kami memang jauh daripada realiti, dari dulu kami bermain secara saja-saja seperti hujung minggu dan tak sangka dapat bermain dengan pasukan yang sehebat macam ini selain suasana penyokong yang memenuhi stadium mungkin itu yang membuatkan kami agak gementar sedikit,”

FC Votafogo yang Punyai peluang untuk berdepan dengan pasukan antarabangsa sudah pasti memberikan pendedahan sejauh mana perbezaan kualiti serta corak permainan mereka ketika ini.

Mukhlis akui tidak sabar untuk kembali berlatih dan ingin bertemu lebih banyak pasukan-pasukan di peringkat antarabangsa terutama daripada Brazil yang merupakan antara negara melahirkan pasukan serta pemain jaguh dalam sukan futsal ini.

“Para pemain semua memang teruja untuk bermain dengan pasukan luar negara tetapi apabila terlampau teruja akhirnya kami sendiri yang kecundang dan kami akan cuba lain kali pula mungkin perlawanan antarabangsa akan datang kami berpeluang bermain dengan pasukan dari Brazil pula.”