VAR semakin hampir buat ‘debut’ dalam Liga Malaysia, Piala Malaysia bakal rasmikan teknologi tersebut?

308

Harapan peminat bola sepak tempatan untuk melihat perlawanan bola sepak yang lebih berkualiti semakin cerah berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin giat menjalankan program latihan Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk perkembangan arena bola sepak negara.

Kursus pengendalian VAR itu kini sudah berada pada fasa kedua latihannya dengan hampir 40 pengadil di Malaysia telah diberikan pendedahan berkenaan aspek penggunaan sistem teknologi tersebut untuk kelancaran pada setiap perlawanan bola sepak di Malaysia.


Langkah drastik itu dilihat sebagai salah satu inisiatif baik untuk menyelesaikan masalah keputusan pengadil dalam perlawanan yang dianggap sebagai kontroversi serta mampu merencatkan corak permainan pasukan yang bertanding.

Langkah positif ini menunjukkan bahawa arena bola sepak negara sudah melangkah ke satu anak tangga lagi untuk menjadi semakin kompetitif setaraf seperti liga bola sepak di Eropah yang sudah lama menggunakan sistem VAR tersebut untuk membantu para pengadil dalam membuat keputusan yang tepat.

Sebelum ini pihak FAM juga mendedahkan bakal menggunakan teknologi VAR tersebut pada perlawanan akhir saingan Piala Malaysia 2023 untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan serta menoktahkan isu-isu yang berbangkit selepas perlawanan berakhir.

Dalam pada itu, dengan penggunaan teknologi VAR pasti akan dapat membantu jika digunakan pada perlawanan-perlawanan besar di saingan peringkat separuh akhir mahupun peringkat akhir.

Tambahan pula, dengan perkembangan ini maka tidak mustahil jika Liga Malaysia akan dapat menggunakan sistem teknologi tersebut secara menyeluruh pada masa terdekat ini justeru akan dapat merancakkan lagi kemajuan liga untuk terus berkembang dalam kemodenan.

Dengan wujudnya teknologi VAR ini semestinya akan memudahkan pengadil perlawanan untuk membuat keputusan yang tepat serta akan dapat meningkatkan standard pemain dengan perkembangan semasa seperti yang berlaku dalam liga bola sepak di Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Stadium Likas kini juga telah dilengkapi sistem VAR sendiri menjelang saingan Piala AFC dan perlawanan yang melibatkan kelab itu di tempat sendiri pada masa akan datang.

Usaha meningkatkan taraf liga tempatan wajar diberikan pujian sepenuhnya kerana akan dapat membantu meningkatkan jumlah peminat bola sepak untuk terus menyokong Liga Malaysia.