Peluang Luqman Hakim buktikan pemergian ke Eropah bukan sia-sia

441

Senarai nama pemain B-23 yang telah dipanggil oleh Ketua Jurulatih, E. Elavarasan bagi persediaan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 yang akan bermula pada minggu hadapan sudah dikeluarkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Nama Luqman Hakim yang kini sedang bersama kelab di Eropah mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan kerana setelah sekian lama beliau tidak dipanggil untuk menyertai saingan yang melibatkan skuad B-23 negara.


Kehadiran beliau dilihat bakal menguatkan lagi ketajaman jentera serangan skuad negara memandangkan bahagian tersebut seakan tumpul dihadapan gawang ketika bertemu Vietnam pada kejohanan Piala AFF B-23 yang berlangsung sebelum ini.

Malah, pengalaman Luqman yang kini bermain dalam liga divisyen dua Iceland iaitu Njardvik FC selepas dipinjamkan dari kelabnya KV Kortrijk pasti bakal ditagih sepenuhnya untuk membantu skuad negara layak secara merit ke saingan Piala Asia B-23.

Sepanjang berkelana ke Eropah dan beraksi dalam liga yang kompetitif beliau telah bermain dalam 12 perlawanan dengan dua jaringan gol.

Luqman juga perlu membuktikan bahawa pemergian beliau ke Eropah bukanlah sesuatu yang sia-sia malah mampu menjadi aset penting untuk membantu skuad Malaysia melakar kemenangan dalam kejohanan tersebut kelak.

Tambahan pula, dengan kehadiran Fergus Tierney dan Alif Ikmalrizal serta Haqimi Azim juga selaku penyerang, pasti akan menjadi saingan buat Luqman untuk konsisten mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Beliau perlu memberikan aksi terbaik serta menyerlahkan diri dalam membantu skuad negara jika diberikan peluang dengan menggunakan pengalaman yang dimiliki dengan sebaiknya setelah tiga tahun berkelana bermain di liga yang lebih kompetitif.