‘Ref botak’ tunjuk muka, bakal kembali ke kancah Liga Super
Pengadil kontroversi, Zulkarnain Zakaria dilihat sedang bersiap sedia untuk kembali ke lapangan hijau musim hadapan selepas gagal menyempurnakan tugasnya dengan baik musim ini dan terpaksa digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ kini sedang berada dalam fasa kedua bagi latihan Video Assistant Referee (VAR) bersama dengan 39 lagi pengadil Malaysia yang lain untuk mempersiapkan diri sebelum kehadiran sistem tersebut dalam Liga Super Malaysia musim hadapan.
Sebelum ini apabila wajah ref botak ini mula memasuki padang, sudah pasti ramai peminat yang tidak senang memandangkan banyak keputusan-keputusan yang diadili oleh beliau tidak tepat dan mencetuskan kemarahan pemain.
pada awal tahun lalu beliau telah digantung oleh FAM disebabkan kes kekhilafan dalam mengadili perlawanan antara Penang FC menentang Sabah FC apabila keputusan beliau memberikan dua penalti dalam perlawanan tersebut dilihat mencurigakan tanpa sebab yang kukuh.
Hal ini mencetuskan kemarahan dan ketidakouasan hati para pemain dan peminat yang menonton sehingga perlawanan menjadi panas sampai ke tiupan wisel penamat.
Akan tetapi isu ini bukan sahaja tercetus disebabkan satu perlawanan sahaja, Zulkarnain turut dikaitkan dengan beberapa lagi insiden kesilapan di atas padang dan kebanyakkannya adalah dalam saingan Liga Super Malaysia.
Selepas menerima beberapa aduan daripada pasukan berkenaan keputusan Zulkarnain pada perlawanan tersebut, FAM sendiri secara terus membuat analisa dan penelitian kepada beliau berkenaan isu tersebut dan akhirnya keputusan telah dikeluarkan supaya beliau digantung daripada semua perlawanan pada musim ini.
Namun kini dengan kelibatnya dalam kem latihan VAR sudah pasti beliau dalam keadaan siap sedia untuk kembali ke padang dan dengan kehadiran sistem sokongan keputusan yang baharu ini sudah pasti dapat membantu pengadil-pengadil Malaysia memperbaiki mutu pengadilan mereka.
Kehadiran VAR sememangnya dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran dan mutu pengadilan pengadil-pengadil tempatan sekaligus menjanjikan kepada peminat bola sepak tanah air perlawanan yang lebih adil dan berkualiti.
Oleh itu juga, diharapkan dengan kembalinya ref botak musim hadapan tiada lagi sebarang kekecohan tercetus dek mutu pengadilan yang teruk dalam kancah bola sepak tempatan.