Popular di negara jiran, Faisal Halim boleh jadi wajah baru bola sepak Malaysia di Indonesia

2,311

Selepas perlawanan persahabatan di antara Selangor FC dan Persiraja Banda Acheh yang berlangsung di Stadium Harapan Bangsa, Indonesia tempoh hari, pemain sensasi kelab itu Faisal Halim jelas menjadi tarikan dan disambut umpama bintang dalam kalangan peminat dari negara jiran tersebut.

Kehadiran Faisal di Aceh bukan sahaja diterima dengan baik malah menjadi tarikan para penonton kelab tersebut untuk hadir melihat kelincahan beliau dalam aksi perlawanan persahabatan bersama pasukan Selangor.


Tambahan pula, ketika Faisal menjaringkan jaringan gol menentang kelab tersebut dilihat para peminat tegar kelab itu yang hadir turut bersama-sama menyambut jaringan Faisal dengan keraian ‘siuu’ yang sinonim dengan pemain itu, lalu memberikan tepukan yang gemuruh pada aksi yang dipersembahkan.

Walaupun negara tersebut kelihatan agak sukar untuk meminati kelab dan pemain dari negara lain terutamanya Malaysia yang merupakan antara seteru serumpun di dalam mahupun luar padang bagi semua jenis sukan terutamanya bola sepak.

Reaksi peminat Persiraja itu dilihat sebagai sesuatu yang positif untuk arena bola sepak negara memandangkan terdapat pemain dari Malaysia yang menjadi tarikan daripada kelab luar negara.

Dalam pada itu, beliau juga merupakan pemain yang ditaja oleh jenama barangan sukan dari Indonesia iaitu Ortuseight sebelum ini.

Keterujaan para peminat dari Indonesia untuk melihat kelibat lincah pemain itu secara tak langsung telah mengembalikan nostalgia pemain dari Malaysia yang menjadi sensasi di Indonesia satu ketika dahulu iaitu Safee Sali.

Sikap peramah serta gaya Faisal yang bersahaja sebelum ini terhadap para peminatnya merupakan antara resipi yang menjadikan beliau terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Malah, tidak mustahil jika suatu hari nanti khidmat beliau yang berbakat bakal ditagih oleh kelab dari Indonesia kerana mempunyai kualiti sebagai pemain bola sepak dan mudah mesra dengan budaya masyarakat di sana.