Bola sepak ini bukan automatik dapat jawapan, ia adalah satu proses – E Elavarasan

101

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, E Elavarasan menyifatkan bahawa adalah penting untuk melihat proses yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang mereka bersama dan tidak melihat kepada keputusan semata-mata.

Katanya, sebagai jurulatih sudah tentu harus ada sasaran yang diletakkan kepada pemain untuk memberi motivasi, namun peningkatan yang ditunjukkan para pemain juga harus diberi perhatian walaupun sasaran tidak berjaya dicapai.


“Bola sepak ini bukan automatik dapat jawapan, sebab itu proses ini kita dah jalankan dari bulan November tahun lalu, beberapa kali kita adakan kem lima hari untuk mereka tangkap modul kita, dan kem kali ini boleh dikira sebagai kem kelima atau keenam di mana kita dapat kumpulkan pemain terbaik.

Semua jurulatih harus ada sasaran untuk beri galakan kepada pemain. Capai atau tidak, di situ kita harus lihat sama ada terdapat peningkatan yang ditunjukkan oleh pemain, dan dari situ kita akan dapat jawapan ke mana hala tuju kita,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika hari pertama kem latihan skuad B-23 negara menjelang saingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bulan depan.

Katanya, untuk pusingan kelayakan itu, beliau mempunyai satu pasukan yang mantap lebih-lebih lagi dengan kehadiran Luqman Hakim dan Nooa Laine.

Beliau melihat Malaysia mempunyai peluang yang sama rata dengan pasukan-pasukan lain untuk ke pusingan seterusnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa minit permainan di peringkat kelab adalah amat penting apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Apabila kita bawa pemain, kita mahu pemain yang boleh bermain 90 minit, jika pemain hanya bermain 15 minit dalam liga, mereka perlu masa untuk sesuaikan diri bermain selama 90 minit.

Pemain-pemain yang kita ada berbeza bukan dari segi kualiti tetapi minit permainan dan tahap fizikal mereka.”

Elavarasan berkata, pada hari pertama kem latihan, seramai 22 pemain yang sudah melaporkan diri, seorang pemain akan melaporkan diri esok, manakala Luqman Hakim dan Nooa Laine akan melaporkan diri pada 4 September nanti.