Ada perbezaan dari segi corak permainan berbanding Malaysia-Dion Cools

1,238

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools akui pengalaman bermain di Liga 1 Thailand berbeza berbanding Malaysia terutama dari segi corak permainan yang ditonjolkan.

Dion Cools yang terlepas panggilan skuad Kim Pan-gon dalam perlawanan persahabatan beberapa bulan lalu kini kembali mengisi lilitan kapten skuad kebangsaan bagi mengharungi cabaran dua gergasi Asia di China September ini.


Pemain berusia 27 tahun itu mahu bawa pengalaman beliau beraksi di Buriram United ke dalam skuad kebangsaan memandangkan terdapat banyak perbezaan yang dirasai terutama melibatkan corak permainan pasukan-pasukan di sana menurutnya.

“Saya selalu terhibur apabila rakan-rakan di Malaysia bertanyakan tentang suasana di Liga Thailand dan bagi saya semuanya sama sahaja tetapi ada perbezaan yang ketara dari segi corak permainan mereka,”

katanya.

Beliau yang bermain dalam ketiga-tiga perlawanan bersama Buriram United dalam musim ini ingin menggunakan seluruh kemahiran dan pengalaman yang beliau milik sewaktu beraksi di sana bagi memastikan rekod cemerlang skuad kebangsaan tidak tercalar.

“Untuk saya sendiri, saya selalu cuba untuk memberikan yang terbaik buat rakan-rakan sepasukan dan setiap perlawanan memberikan pengalaman buat saya sekaligus akan digunakan untuk meraih kemenangan bersama pasukan,”

Selain itu, Dion mahu rakan sepasukannya kembali fokus meskipun sebelum ini skuad Harimau Malaya berjaya membenam pasukan lawan dengan jaringan yang besar namun kali ini mereka perlu bermain bersungguh-sungguh kerana ini adalah cabaran yang sebenar.

“Sebelum ini saya tiada dan pasukan buat yang terbaik dalam dua perlawanan sebelum ini, tetapi sekarang adalah masa untuk serius kerana dua pasukan ini adalah lawan yang sukar dan kita kena siap sedia untuk kualifikasi Piala Dunia dan Piala Asia.”

Untuk rekod, Dion Cools sebelum ini terpaksa menolak panggilan skuad kebangsaan atas sebab melangsungkan perkahwinannya namun kini beliau sudah kembali dan bersemangat untuk berjuang bersama skuad kebangsaan.