Saya sudah kembali dan akan buktikan kebolehan sebenar kepada jurulatih-Sergio Aguero
Penyerang tengah Sri Pahang FC, Sergio Aguero gembira dipanggil untuk mengisi barisan pemain Harimau Malaya yang bakal beraksi di China September ini dan ingin buktikan kepada semua bahawa beliau layak beraksi buat skuad kebangsaan.
Pemain yang berusia 29 tahun itu yang sudah pulih daripada kecederaan beberapa bulan lalu kini kembali dengan semangat baru untuk membuktikan kebolehannya selain beliau akui ramai pemain-pemain hebat yang berada dalam barisan skuad pilihan jurulatih Kim Pan-gon kali ini.
“Pasukan kita kini semakin meningkat baik setiap masa, sebelum ini saya tidak dipanggil disebabkan mengalami kecederaan tetapi sekarang saya sudah kembali bersama pasukan dan dapat tunjukkan kepada pasukan dan jurulatih yang saya bersedia untuk berjuang dengan skuad kebangsaan,”
katanya.
Selain itu menurut Aguero sendiri walaupun dalam waktu yang singkat sahaja berlatih bersama namun beliau dapati pemain-pemain yang dipanggil oleh jurulatih kali ini sangat berkualiti dan mereka kelihatan bersedia untuk bersaing dengan pasukan yang lebih kuat.
“Dua pasukan ini China dan Syria adalah lawan yang sukar akan tetapi kami juga mempunyai pemain yang bagus dan berkualiti meskipun kami baru sahaja berlatih bermula semalam tetapi saya sudah lihat kita ada pasukan yang kuat dan bersedia untuk menentang mereka,”
Beliau yang cemerlang dalam Kejohanan AFF hujung tahun lalu ingin mengulangi kejayaan bersama skuad Harimau Malaya sekiranya diberikan peluang untuk beraksi oleh Kim Pan-gon dalam aksi persahabatan menentang China dan Syria bulan hadapan.
“Mereka pasukan yang sangat kuat dan tinggi berbanding kita dalam ranking FIFA, kita juga mempunyai ramai pemain yang berkebolehan tetapi apabila tiba giliran saya, saya akan buktikan kebolehan saya seperti yang telah saya tunjukkan semasa di AFF.”
Kali terakhir Sergio Aguero menyarung jersi kebangsaan adalah dalam Kejohanan AFF tahun lalu dan terlepas panggilan baru-baru ini menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea disebabkan kecederaan.