Lepas berehat lama, saya kini kembali dengan lebih bertenaga untuk bantu Harimau Malaya – Faisal Halim

123

Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Faisal Halim melihat hukuman penggantungan selama sebulan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepadanya dari sudut positif iaitu masa untuknya berehat setelah lama tidak dapat berbuat demikian dek sibuk dengan banyak perlawanan.

“Dari bulan Disember tahun lepas saya tidak rehat, mungkin ini adalah Allah memberi saya cuti untuk menaikkan semula moral saya dan kembali bertenaga selepas berehat.

InsyaAllah kalau tiada apa halangan saya akan perform seperti biasa dan berharap dapat bantu pasukan,”

katanya.

Faisal juga bersyukur apabila mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, pihak kelab dan juga peminat ketika waktu sukarnya serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk dirinya.


Beliau juga merupakan salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk persiapan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.

Skuad negara akan menentang Syria terlebih dahulu sebelum turun beraksi tuan rumah China pada perlawanan kedua.

“Ya, sudah tentu kita tahu Syria dan China bukan sebuah pasukan yang lemah kerana mereka sangat bagus. Kita pasukan Malaysia mahu berada di landasan tepat untuk menjadi lebih baik jadi kita perlukan sedikit sokongan daripada rakyat Malaysia.

Saya tak rasa ini adalah perlawanan mudah tapi kita akan cuba buat yang terbaik untuk melihat prestasi sebenar kita.”

Dalam pada itu, Faisal mengakui beliau ketika ini hanya mempunyai minit permainan sebanyak 45 minit sahaja selepas hukuman penggantungannya berakhir, namun baginya ia bukan satu masalah buat dirinya.

“Saya baru ada 45 minit permainan, tapi saya harap ia tidak menjadi masalah buat saya kerana saya akan cuba beri yang terbaik.

Sebagai seorang pemain bola sepak, ini kerja saya. Walau apa pun berlaku di belakang tabir saya tetap perlu teruskan perjuangan.”