PJ City FC tak minat ikat Fakri Saarani lagi

430

Ketua jurulatih pasukan PJ City FC, P. Maniam memberitahu bahawa beliau tidak berminat untuk mengambil bekas penyerang KL City FC, Ahmad Fakri Saarani untuk sertai pasukan itu buat masa ini.

Menurut P. Maniam, tiada keperluan untuknya membawa masuk pemain itu kerana PJ City sendiri mempunyai ramai pemain di posisi itu.


“Sebenarnya kami sudah mempunyai ramai penyerang yang berkualiti seperti Kogileswaran, Khyril Muhymeen, Suniil Chandran, Syahmi Zamri, V. Ruventhiran dan beberapa lagi yang mampu bermain dalam kesebelasan utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pengendali skuad The Phoenix itu bagaimanapun berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu persembahan Fakri yang bakal main di Liga M3 terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Terdahulu bekas pemain kebangsaan itu dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama pasukan berpengkalan di Kuala Kangsar, Perak iaitu BRM FC.

Pemain berusia 32 tahun itu akan bergandingan dengan dua lagi bekas pemain Liga Super lain iaitu Azmeer Yusof dan Fitri Omar.

Fakri merupakan salah seorang pemain dari skuad emas Sukan SEA 2009 dan 2011.

Dalam pada itu, PJ City baru sahaja mengumumkan tujuh pemain baru yang akan menyertai pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia musim 2022.

Antara pemain baru adalah Mohamad Nasir Nasharudin (Terengganu FC), Muhammad Azfa Arif (UiTM FC), Aron Kumar (Negeri Sembila FC), Kumaahran Sadhasivam (JDT FC), Marcus Mah (Penang FC), Barathkumar (Negeri Sembila FC) dan Shivan Pillay (Selangor FC).

Sementara itu, P. Maniam turut memberitahu skuadnya kini sudah lengkap dan mereka sudah pun mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk mempersiapkan pemain-pemainnya untuk saingan musim ini.

Malah beliau juga optimis dengan anak buahnya untuk mencapai sasaran mereka iaitu untuk berada pada Top 5 di Liga Super musim ini.