Syihan Hazmi seru peminat banjiri SNBJ untuk beri sokongan kepada Harimau Malaya pada Pestabola Merdeka 2023
Penjaga gol pasukan kebangsaan, Syihan Hazmi menyeru seluruh rakyat Malaysia dapat turun membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk memberi sokongan padu buat skuad Harimau Malaya pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada Oktober nanti.
“Pengalaman saya dulu masa Pestabola Merdeka dulu memang meriah dan Alhamdulillah kini rezeki saya dapat bermain di Pestabola Merdeka.
Saya harap pada kejohanan kali ini saya harap penyokong dapat turun penuhkan stadium untuk beri sokongan buat pasukan kebangsaan,”
katanya.
Syihan juga berkata setiap kejohanan yang disertainya adalah berbeza dan Pestabola Merdeka juga tidak terkecuali.
Dalam pada itu, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah salah seorang pemain yang tersenarai dalam 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula 29 Ogos.
Kem latihan pusat itu adalah bagi mempersiap pasukan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China pada 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.
“Pertama sekali saya ingin cakap Alhamdulillah sebab kita dapat menentang dengan dua pasukan hebat seperti Syria dan China dan di situ kita dapat satu pengalaman dan akan gunakan pengalaman itu untuk perbaiki segala kelemahan.”
Sementara itu, beliau dan rakan sepasukan kini bekerja keras sepanjang tempoh latihan bagi mempersiapkan pasukan supaya mereka dapat berada dalam prestasi terbaik apabila turun beraksi nanti.