TMJ pernah idamkan Papu Gomez dalam perancangan JDT
Johor Darul Ta’zim dan Argentina memang sudah tidak asing lagi apabila kebanyakkan pemain-pemain ternama dan beraksi cemerlang dalam skuad harimau selatan berasal daripada negara itu.
Baru-baru ini perkhabaran tentang pemain sayap Sevilla iaitu Papu Gomez yang bakal menamatkan kontraknya bertebaran luas di laman berita sukan Asia dan ini mungkin petanda baik buat JDT.
Pemain berusia 35 tahun yang bermain di bahagian sayap itu antara calon yang sesuai untuk mengisi ruang pemain mereka yang tercedera seperti Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez bagi persiapan ke Liga Juara-juara Asia (ACL) yang bakal bermula tidak lama lagi.
Papu yang sudah bermain dua musim di La Liga bersama Sevilla kini sudah di akhir kontraknya dan menurut wartawan sukan ternama Fabrizio Romano memberitahu masih belum ada kata putus daripada pemain tersebut sama ada mahu kekal atau meninggalkan kelab tersebut.
Pada tahun lalu, pemilik JDT sendiri iaitu Tunku Mahkota Johor(TMJ) menyatakan minat dan pelannya untuk membawa masuk pemain tersebut ke kelabnya namun ia hanyalah perbualan di laman sosial dan tiada sebarang makluman atau hebahan yang dibuat oleh TMJ berkenaan mahu membawa pemain itu ke Larkin.
Akan tetapi dengan perkhabaran sebegini, mungkin ia peluang yang baik buat JDT untuk memiliki seorang lagi pemain yang berasal daripada Argentina.
JDT dan pemain Argentina memang sudah tidak asing lagi apabila ramai pemain daripada negara tersebut menyertai skuad harimau selatan itu baik daripada pemain muda sehinggalah ke bintang dunia.
Antara pemain-pemain Argentina yang pernah bermain dengan JDT adalah Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa, Leonel Nunez, Pablo Aimar dan kini masih bermain namun mengalami kecederaan iaitu Leandro Velazquez.
Sekiranya Papu benar-benar dilamar oleh JDT ia mungkin satu penghargaan yang tidak diduga dapat membawa seorang pemain bertaraf juara Piala Dunia ke dalam Liga Super Malaysia.
Namun segalanya masih lagi belum diketahui dan ada banyak pasukan-pasukan di rantau Asia yang cuba untuk mendapatkan khidmat pemain berstail itu.
Dikhabarkan sebelum ini beliau turut mendapat tawaran daripada kelab di Qatar dan ada juga kelab dari Liga Arab Saudi cuba untuk memancing pemain sayap tersebut.
Tahun demi tahun Johor Darul Ta’zim menjadi pasukan yang kian melangkah jauh berbanding pasukan-pasukan tempatan lain baik dari segi pembangunan kelab sehingga kepada barisan pemain berkualiti.