Syihan ada pakej lengkap penjaga gol hebat, pertahanan rasa yakin lihat beliau di gawang – Azmin Azram
Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz menyifatkan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi memiliki pakej lengkap sebagai seorang penjaga gol yang hebat.
Katanya, Syihan juga beruntung kerana bermain di JDT yang lengkap segala-galanya, termasuk berada di bawah tunjuk ajar jurulatih luar negara.
“Beliau mempunyai fizikal dan bakat yang baik, dan sekarang bermain di JDT adalah satu kelebihan yang cukup besar untuknya, lebih-lebih lagi di bawah tunjuk ajar jurulatih luar negara.
Pertahanan di hadapannya apabila lihat beliau menjaga gawang, rasa yakin itu pasti timbul,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Azmin berkata, Syihan harus mengambil peluang ini untuk meningkatkan diri semaksima mungkin.
Beliau yang kini menjadi jurulatih kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC (CAHN FC) mengakui bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat penjaga gol yang hebat.
Katanya, barisan penjaga gol tempatan generasi kini seperti Syihan, Sikh Izhan, Kalamullah Al-Hafiz, Rahadiazli Rahalim dan Azri Ghani harus menggunakan peluang apabila berada di kem kebangsaan untuk meningkatkan tahap mereka.
“Penjaga gol yang dipanggil mewakili negara harus menggunakan peluang ini sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa, tidak boleh hanya nampak gah dalam liga sahaja.
Sebagai pemain profesional, anda harus jadikan saingan antarabangsa sebagai platform untuk bersinar.”
Tambahnya, perlawanan persahabatan Malaysia menentang China dan Syria pada bulan ini dilihat sebagai medan terbaik buat Harimau Malaya mengukur tahap kemampuan sebenar.